SEPANJANG lebih satu tahun Kerajaan Perpaduan memerintah, pelbagai perubahan telah pun dilakukan sekali gus dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Namun dalam pada itu, tidak kurang juga pelbagai tohmahan yang turut dilemparkan oleh pihak tertentu yang tidak senang dengan segala pencapaian yang telah terbukti berjaya dilaksanakan.
Biarpun telah menginjak ke tahun 2024, namun di laman sosial masih bertebaran fitnah yang mahu menjatuhkan kerajaan kononnya pemimpin bergaduh sesama sendiri sehingga menyebabkan negara tidak stabil.
Walaupun begitu, kerajaan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap melangkah maju ke hadapan dan sentiasa memfokuskan agenda utamanya untuk membela nasib rakyat.
Terbaharu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata atas kekuatan serta kestabilan daripada kesepaduan itu, Kerajaan Madani berjaya merangka lima dasar yang cukup bersejarah untuk rakyat dan negara.
Antaranya rangka Ekonomi Madani yang telah menaikkan ekonomi negara dan rakyat selain Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang berupaya menarik pelaburan serta meningkatkan peluang pekerjaan baharu bergaji tinggi dengan fokus ditumpukan kepada industri penting.
“Pada masa sama, kerajaan mengkaji semula gaji penjawat awam dan usaha ini dilakukan untuk meningkatkan lagi produktiviti penjawat awam. Selain itu, kerajaan berusaha meningkatkan gaji pekerja swasta seluruh Malaysia menerusi pengenalan Dasar Gaji Progresif.
“Pada 2023, kerajaan turut memperkenal Dasar Peralihan Tenaga berikutan terdapat keperluan mendesak untuk negara beralih ke sumber tenaga baharu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, baru-baru ini.
Di peringkat kementerian, pelbagai inisiatif baharu termasuk menurunkan harga Internet selain membawa semua syarikat telekomunikasi ke meja rundingan yang membolehkan mereka bersetuju menawarkan perkhidmatan 5G.
Selain itu, tempat yang selalu menghadapi masalah Internet seperti kampung Orang Asli serta kawasan pedalaman dapat menggunakan Starlink, manakala gaji pengurus dan penolong pengurus Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negara dinaikkan RM500 sebulan.
Malah, atas inisiatif kerajaan juga peluang pekerjaan baharu untuk anak muda dalam sektor ekonomi digital meningkat 23 peratus pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya.
Jelaslah ia merupakan permulaan yang baik untuk Kerajaan Madani pada tahun 2023 dan dapat diteruskan dengan lebih banyak lagi kejayaan gemilang yang bakal dilakar pada tahun 2024. – WILAYAHKU