ISTILAH ‘keling’ yang digunakan pada program Temu Anwar Dialog Mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini bukan menghina kaum lain sebaliknya adalah petikan daripada buku bertajuk Hikayat Hang Tuah, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, salah faham berlaku apabila ada pihak yang menyunting video tersebut sekali gus membuatkan ayat tersebut tergantung.
“Istilah tersebut diambil daripada buku tersebut dimana Hang Tuah mempunyai penguasaan bahasa yang banyak antaranya bahasa Melayu, bahasa Arab, Siam dan bahasa Keling yang berasal daripada istilah kalinga.
“Kalau ada yang salah faham, saya minta maaf, bukan niat saya. Saya orang terakhir yang melontarkan ekspresi menghina kaum dan agama,” kata beliau pada Sesi Dialog Bersama Ketua Pengarang serta Pengarang Kanan Media di Dewan Bankuet, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Tambah beliau, pada masa kini, istilah keling tidak disenangi banyak pihak dan beliau tidak akan menggunakannya cuma sekadar memetik kata-kata di dalam buku berkenaan sahaja. – WILAYAHKU