SEMENJAK tercetusnya perang antara Israel dan Palestin pada awal Oktober lalu, masyarakat dunia membantu menyebar luaskan tentang kekejaman yang dilakukan rejim Zionis Israel melalui laman sosial.
Pelbagai usaha dilakukan untuk menunjukkan tanda solidariti atas kejadian tersebut selain menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban saudara Islam di Palestin.
Terkesan dengan penderitaan rakyat di negara tersebut, pelakon Que Haidar turut menyumbangkan ‘gift’ yang diterima daripada pengikutnya ketika siaran langsung di platform TikTok.
“Perit yang mereka lalui, turut dirasai oleh masyarakat dunia. Begitulah juga saya. Alhamdulillah, hasil gift semasa siaran langsung di TikTok sedikit sebanyak boleh membantu rakyat Palestin yang tidak cukup keperluan harian.
“Tempat mereka sedang berperang, maka banyak benda yang musnah. Menerusi gift yang disumbangkan dapatlah membeli makanan dan selimut. Itulah keperluan asas yang sangat diperlukan. Bagi yang menderma ketika saya bersiaran di TikTok boleh teruskan,” ujarnya.
Tambah Que, dia turut terharu melihat keprihatinan rakyat Malaysia yang banyak membuat sumbangan menerusi pertubuhan-pertubuhan tertentu untuk membantu.
“Sekecil-kecil pemberian pun adalah jihad buat anda. Teruskan membantu penduduk Palestin mengikut kemampuan masing-masing.
Dalam masa yang sama, teruskan berdoa, itu juga senjata kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga berharap masyarakat lebih sensitif ketika membuat hantaran atau status dalam media sosial antaranya tidak terlalu mempamerkan momen gembira atau bersuka ria disaat rakyat Palestin dihidang’ dengan bom setiap hari.
Terdahulu, Que mula memperoleh ‘gift’ melalui siaran langsung di TikTok ketika membuat siaran langsung bersama sahabatnya, Syeikh Yusof yang tinggal di Al-Quds (berhampiran Masjid Al-Aqsa) dan dalam masa yang sama dia turut memasang doa untuk diaminkan oleh semua pengikut laman sosialnya. – WILAYAHKU