Berita

Tourism Malaysia hargai media

ANTARA petugas media yang turut serta pada Majlis Makan Malam Penghargaan Media Sabah dan Labuan di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
- Diterbit 22 Disember 2023 10:10 AM MYT

BAGI mengekalkan hubungan baik yang terjalin dengan pelbagai agensi media di Sabah dan Labuan, Tourism Malaysia menganjurkan Majlis Penghargaan Media bagi menyantuni golongan itu di Tambunan Golf Club (TNGC) Beverly Hills, Bundusan Sabah, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, seramai 100 petugas media daripada agensi media di Sabah dan Labuan dijemput sebagai tanda penghargaan daripada pihak Tourism Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata penganjuran majlis itu bertujuan untuk menghargai kerjasama pihak media yang sentiasa memberikan sokongan kepada pihaknya dalam mempromosikan program dan tempat pelancongan di Sabah dan Labuan.

“Ini adalah simbol penghargaan daripada pihak kami kepada semua agensi dan petugas media yang tidak putus-putus memberikan kerjasama yang begitu akrab dalam mempromosikan kemegahan dan keajaiban Sabah dan Labuan kepada dunia pada Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya semasa Majlis Makan Malam Bersama Media Sabah dan Labuan, di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Komunikasi Tourism Malaysia, Razali Omar dan Timbalan Pengarah Tourism Sabah, Trecey J Tojuka.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainuddin Djimin menzahirkan penghargaan kepada pihak Tourism Malaysia Sabah dan Labuan yang tidak melupakan peranan petugas media yang sering membantu mempromosikan pusat pelancongan di pulau itu.

“Terima kasih kerana menjemput kami ke majlis ini dan diharapkan hubungan serta kerjasama yang terjalin akan terus kekal bagi memajukan lagi sektor pelancongan di Sabah dan Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas