SEBANYAK lima pembangunan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan 25 projek baik pulih rumah golongan kurang berkemampuan bernilai RM3 juta di Labuan pada tahun 2023 telah diluluskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Setiausaha Politik kepada Menteri KKDW, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafi berkata setiap rumah PPRT bernilai RM79,000 manakala setiap projek baik pulih rumah bernilai RM17,000 serta pembinaan jalan perhubungan desa dan peruntukan untuk amaniti sosial.
“Tahun ini ada tambahan lagi RM1 juta hasil limpahan bajet kerajaan pusat di bawah KKDW menjadikan jumlah semua RM2 juta, manakala amanat sosial sebanyak RM750,000 hingga RM1 juta.
“Ini tidak termasuk peruntukan PPRT dan baik pulih rumah yang kita anggarkan secara keseluruhan peruntukan yang diagihkan kepada Labuan lebih RM3 juta,” katanya kepada pemberita pada lawatannya ke beberapa buah kampung baru-baru ini.
Tambahnya, peruntukan yang disalurkan tersebut merupakan usaha kerajaan untuk mengeluarkan rakyat daripada kepompong masalah miskin tegar selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“KKDW sentiasa memberi perhatian dari segi pembangunan Labuan khususnya projek kemudahan rakyat terutamanya yang melibatkan pembinaan rumah PPRT.
“Kita tahu bahawa Labuan amat memerlukan peruntukan yang besar dalam pembangunan projek-projek kemudahan rakyat, oleh itu perkara ini saya akan angkat kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW agar peruntukan lebih besar dapat diberi kepada Labuan pada tahun hadapan,” katanya. – WILAYAHKU