Fitnah vs Fakta

Kerajaan padam kandungan palsu, dituduh sekat kebebasan bersuara

SEJUMLAH 4,008 kandungan berita palsu direkodkan pada tahun ini. - Gambar hiasan
- Diterbit 22 Disember 2023 8:50 AM MYT

KECOH dalam media sosial dakwaan kerajaan menyekat hak kebebasan bersuara rakyat ekoran syarikat induk Facebook, Meta dan TikTok dari China melaporkan lonjakan permintaan kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan kandungan atau menyekat akaun media sosial dalam tempoh enam bulan pertama 2023.

Pelbagai komen negatif dilontarkan seolah-olah kerajaan hari ini mungkir janji yang ditaburkan sebelum pilihan raya untuk memperjuangkan hak kebebasan bersuara di negara ini.

Sebelum membuat sebarang tuduhan melulu sepatutnya usul periksa dahulu kerana ia boleh jatuh fitnah. Silap hari bulan, didakwa pula kerana menyebarkan berita palsu.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menafikan dakwaan kononnya kerajaan membuang kandungan di platform media sosial kerana mengkritik beliau atau Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, tindakan kerajaan membuang kandungan di beberapa platform media sosial disebabkan 70 peratus daripadanya mengandungi promosi jualan haram dan penipuan dalam talian.

“Tahun ini kita buang 18,140 kandungan penipuan. Zaman Annuar Musa (bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa) buang berapa? 315 je.

“Takkan dia tak cergas lawan penipuan pun nak salahkan saya,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook dan X pada Sabtu.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan mengulas berita bertajuk Padam Kandungan: Langkah ke Arah Cengkaman Media, yang diterbitkan Harakahdaily baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Fahmi turut berkongsi statistik kandungan memudaratkan pada tahun ini iaitu 25,642 kandungan berbanding 1,019 pada 2022.

“Sejumlah 18,140 kandungan tahun ini merupakan penipuan dan penjualan haram, diikuti 4,008 kandungan berita palsu, 2,858 kandungan jelik, 599 bersifat pornografi dan 37 kandungan bersifat mengancam,” tulis beliau.

Langkah yang diambil itu sebenarnya amatlah tepat kerana jika dibiarkan perkara ini akan terus melarat dan memberi kesan yang tidak baik daripada semua segi. Malah, tindakan sedemikian perlu dibuat bagi memberi perlindungan kepada pengguna.

Ia juga bagi mendidik orang ramai agar menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak lagi sesuka hati memuat naik bahan-bahan yang tidak sepatutnya di laman sosial tanpa memikirkan kesan buruk. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas