RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) dalam edisi laporan Bulanan Pasaran Bon untuk Disember 2023 menyatakan bahawa pelabur asing bertukar kepada pembeli bersih pada November selepas jualan bersih tiga bulan berturut-turut.
Aliran masuk asing bersih secara keseluruhan berjumlah RM5.4 bilion (Oktober: aliran keluar bersih RM2.6 bilion), didahului oleh Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) berjumlah RM5.6 bilion.
Ia berkata selera pelabur kembali meningkat untuk pasaran bon baharu muncul didorong oleh pertaruhan yang semakin meningkat bahawa bank-bank pusat utama global akan mengurangkan kadar faedah pada separuh pertama 2024.
Pasaran menjangkakan penurunan kadar akan berlaku pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Pasaran Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat bagi bulan Mac 2024, meningkat kepada kira-kira 43 peratus setakat November 2023, naik sekitar lapan peratus sebulan sebelumnya, menurut CME FedWatch Tool data.
RAM Ratings berkata sentimen pelabur yang lebih baik menyebabkan kenaikan dalam pasaran bon serantau, menjejaki kenaikan harga dalam pasaran Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST).
Hasil UST 10 tahun merosot 51.0 mata asas (bps) bulan ke bulan kepada 4.37 peratus pada akhir November.
Dalam pada itu, hasil bon kerajaan MGS 10 tahun, Indonesia dan bon kerajaan Thailand turun bulan ke bulan sebanyak 28.3 mata asas, 44.6 mata asas dan 27.5 mata asas, masing-masing, pada 3.82 peratus, 6.75 peratus dan 2.97 peratus pada tarikh yang sama.
Hasil bon sebahagian besarnya menurun pada awal Disember walaupun pada kadar yang lebih sederhana kerana peniaga mengurangkan pertaruhan terhadap penurunan kadar faedah.
Hasil UST dan MGS 10 tahun masing-masing berada pada 4.20 peratus dan 3.80 peratus pada 12 Disember.
Sementara itu, ringgit diniagakan sekitar 4.67 berbanding dolar US pada awal Disember selepas meningkat kepada 4.65 pada akhir November (akhir Oktober: 4.77) berikutan kelemahan dolar US. – BERNAMA