Berita

Musim tengkujuh dijangka berlaku 11 November ini

- Diterbit 7 November 2023 4:04 AM MYT

MONSUN Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di negara dijangka berlaku bermula pada 11 November nanti dan berterusan sehingga Mac 2024.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, dalam tempoh tersebut empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.

“Semasa fasa awal MTL dari November 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

“Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Helmi, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.

“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” jelasnya.

Jelasnya, pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac 2024 dijangkakan utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu), Sabah, Labuan dan utara Sarawak mengalami kurang hujan.

“Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba. Situasi ini berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024,” ujarnya.

Muhammad Helmi menasihati orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas