Berita

KPDN gerakkan 2,200 penguat kuasa di seluruh negara, pantau harga ayam

- Diterbit 3 November 2023 11:01 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan kira-kira 2,200 anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan harga ayam yang telah diapungkan mengikut harga pasaran semasa bermula 1 November lalu.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata tugasan penguat kuasaan itu dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] bagi memantau situasi harga ayam dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

Katanya, tujuan pemeriksaan dan pemantauan ini dilaksanakan bagi meninjau situasi semasa yang berlaku di lapangan berhubung penjualan ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan ke atas harga ayam bermula 1 November 2023 seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu pada 30 Oktober 2023.

“Berrdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh KPDN pada 2 November 2023, kedudukan harga purata ayam bersih standard di peringkat Nasional adalah RM8.51/kg manakala harga purata di Semenanjung Malaysia adalah RM8.46/kg.

“Sementara itu, harga purata bagi ayam bersih standard di Sabah adalah RM11.61/kg, Sarawak adalah RM10.14/kg dan Wilayah Persekutuan Labuan pula adalah RM12.50/kg,” katanya dalam satu kenyataan selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya dan Pasar Awam Kajang, Selangor hari ini.

Fauziah berkata pada masa yang sama, KPDN komited dalam menjalankan pemantauan harga barang yang dilaksanakan oleh lebih daripada 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN setiap hari melibatkan hampir 1,500 premis meliputi pasar basah, hypermarket dan supermarket, pasar mini dan kedai runcit di seluruh Malaysia.

Beliau berkata KPDN juga ingin memberikan amaran keras kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa dengan mempamerkan tanda harga dengan jelas dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak Kementerian.

“Pengguna turut disarankan agar memanfaatkan sepenuhnya aplikasi mudah alih Price Catcher semasa berbelanja dan membuat perbandingan harga serta merancang perbelanjaan secara berhemah,” katanya.

Sementara itu, Fauziah turut meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada Kementerian sekiranya berlaku salah laku oleh peniaga berhubung perkara berkaitan bersama butiran aduan yang lengkap melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; E-mel [email protected]; Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245, dan; Kod QR Aduan Bekala. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas