Berita

Kes denggi catat peningkatan

- Diterbit 3 November 2023 10:57 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan kes demam denggi meningkat sebanyak 10 kes (0.4 peratus) pada Minggu Epidermiologi ke-43 (ME43) tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata pada minggu ini sebanyak 2,272 kes berbanding 2,262 pada minggu sebelumnya.

Tambahnya, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME43.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME43 adalah sebanyak 98,715 kes berbanding 49,569 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 49,146 (99.1 peratus).

“Manakala sejumlah 73 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 33 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Radzi, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan menurun pada ME43 iaitu sebanyak 68 lokaliti berbanding 73 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

“Dari jumlah tersebut, Selangor mencatatkan sebanyak 49 lokaliti, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (9), Perak (6) manakala Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang serta Sarawak semuanya satu lokaltiti hotspot,” ujarnya.

Jelas beliau, bagi survelan chikungunya, sebanyak empat kes direkodkan pada ME43.

“Jumla kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 181 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 2,982 sampel darah dan 301 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas