Berita

APMBP 2022-2023 iktiraf pengusaha premis makanan di Putrajaya

FADLUN (kiri) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Bersihkan Meja Selepas Makan (Zon Meja Bersih Putrajaya) Julai lalu.
- Diterbit 2 November 2023 9:00 PM MYT

Oleh DIANA AMIR

BAGI mengiktiraf pengusaha premis makanan di Putrajaya yang komited dalam mempraktikkan aspek keselamatan dan kualiti makanan masing-masing, Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Anugerah Premis Makanan Bersih Putrajaya (APMBP) 2022-2023 pada Khamis.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, ia merupakan penganjuran edisi ketiga selepas tahun 2016 dan 2020.

“Antara kategori premis makanan yang telah diiktiraf adalah premis restoran francais dan bukan francais, gerai makanan, kiosk makanan, hotel, kantin sekolah, kafeteria, dapur komersial, food truck serta kedai kek dan pastri.

“Manakala bagi kategori khas pula, melibatkan Premis Contoh Program Mentor Mentee Premis Makanan PPj, Premis Contoh Program BeSS Pejabat Kesihatan Putrajaya dan Premis Contoh My Trust Catering Kesihatan Putrajaya,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Fadlun berkata terdapat 10 kategori pengiktirafan dan tiga kategori khas dengan mengambil kira penilaian yang telah dijalankan oleh PPj dengan kerjasama rakan strategiknya iaitu Pejabat Kesihatan Putrajaya (PKPj) bagi tahun 2022 hingga 2023.

“Sebanyak tujuh aspek penilaian yang dijalankan merangkumi pematuhan kriteria kawasan penyediaan makanan, kawasan penyajian makanan, etika pengendali makanan, sistem bekalan air, kemudahan sanitasi, struktur dan penyelenggaraan premis serta lain-lain keperluan seperti yang dikehendaki di dalam Garis Panduan Pemeriksaan dan Penggredan Premis Makanan PPj dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” ujarnya Putrajaya telah menyaksikan peningkatan premis makanan sebanyak 480 buah pada tahun ini berbanding 173 premis makanan pada tahun 2007.

Bagi meneruskan komitmen PPj dalam aktiviti keselamatan makanan, Fadlun berkata pihaknya secara berterusan telah menganjurkan Program Mentor Mentee Premis Makanan PPj.

“Semua premis makanan Gred B terpilih akan dibimbing untuk peningkatan ke Gred A dengan melalui modul-modul yang telah ditetapkan.

“Sebanyak 73 peratus peserta program ini telah berjaya dinaik taraf ke Premis Makanan Gred A pada tahun 2022 dengan bimbingan dan penilaian berterusan sehingga tempoh 2023.

“Mengikut rekod sebanyak 252 premis makanan telah diberikan penarafan Gred A sehingga September 2023 berbanding 239 untuk tempoh sama pada tahun ini,” jelasnya yang berharap dengan program serta inisiatif ini dapat memberi kesedaran kepada pemilik premis serta orang awam tentang kepentingan penjagaan kebersihan premis makanan.

Tambahnya lagi PPj telah memperkenalkan satu inisiatif baharu iaitu Kad Pengendali Makanan Perbadanan Putrajaya kepada semua pengendali makanan yang bekerja di sekitar pusat pentadbiran kerajaan.

“Inisiatif pengenalan kad pintar ini adalah sebagai satu usaha PPj dalam mewujudkan dokumen rasmi bagi Kad Latihan Pengendali Makanan PPj dan Kad Suntikan Typhoid PPj.

“Setiap rujukan data pengendali makanan yang disimpan bukan sahaja mampu mengelakkan risiko pemalsuan dokumen wajib pengendali makanan, malah akan memudahkan pemeriksaan dijalankan oleh PPj dan PKPj melalui data yang telah terintegrasi dengan lebih telus dan sistematik,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas