Oleh HAZIRAH HALIM
PEMAKAIAN lukisan inai bagi masyarakat di Malaysia terutama golongan wanita sudah menjadi kebiasaan lebih-lebih lagi apabila kini terdapat pelbagai jenis produk inai di pasaran yang bukan sahaja boleh digunakan untuk mewarna jari malah rambut dan kuku.
Tatkala musim perayaan mahupun majlis perkahwinan pula, pastinya ramai yang ingin menghias tangan dengan lukisan inai tetapi bimbang akan kualiti dan ukiran seni yang dihasilkan.
Tampil memperkenalkan produk inai keluarannya sendiri, Areyna Henna yang diusahakan oleh Nurazreena Afiqa Salmi, 28, menawarkan pelbagai jenis produk inai antaranya inai kon dan inai celup yang pastinya berkualiti, halal dan sah solat serta telus air.

Berkongsi lanjut, Azreena berkata inai yang dihasilkan sendiri itu memiliki satu warna sahaja iaitu warna merah yang dijual dalam pelbagai jenis saiz dan harga bermula RM4 hingga RM10.
“Saya seorang yang sangat cerewet lebih-lebih lagi apabila hendak melukis inai di tangan seseorang, jadi kualiti inai itu sangat penting bagi saya. Jadi, saya buat keputusan untuk menghasilkan produk inai.
“Alhamdulillah, kebanyakan pelanggan memberitahu inai yang dihasilkan pekat, tahan lama selain lukisan seni inai juga lebih halus dan kemas,” katanya yang sudah berpengalaman dalam bidang tersebut sejak tahun 2015.
Tambah Azreena, dia lebih menyukai inai berwarna merah kerana ia tahan lebih lama berbanding inai putih yang hanya kekal sekurang-kurangnya enam jam sahaja.
“Inai putih lebih kurang seperti kapur di mana kalau diletakkan di atas tangan, ia sukar diserap ke dalam kulit dan biasanya kalau kena air memang akan cepat hilang.
“Berbeza dengan inai merah, ia lebih murah, mudah didapati dan tahan lebih lama, disebabkan itulah inai merah ini kebiasaannya digunakan untuk majlis perkahwinan kerana lukisan dan warnanya lebih menonjol dan tidak mudah luntur,” katanya kepada Wilayahku.
Ditanya mengenai cabaran dalam mengusahakan perniagaan inai, Azreena berkata rekaan yang dipilih serta warna kulit dan bentuk saiz tangan pelanggan memberi cabaran kepadanya untuk melukis inai.
“Warna kulit pelanggan berbeza-berbeza termasuklah bentuk saiz tangan. Kalau saiz tangan kecil, ia lebih mudah berbanding tangan yang agak lebar tetapi ia bergantung juga pada rekaan atau corak lukisan inai yang dipilih.
“Saya ada corak sendiri yang mereka boleh pilih tetapi kalau pelanggan nak corak yang mereka sendiri mahu, saya boleh buatkan. Cuma ada sesetengah pelanggan tidak suka tunggu lama,” katanya situasi itu sering berlaku ketika dia hendak melukis inai pengantin.
Areyna Henna turut menyediakan perkhidmatan melukis inai di Kuala Lumpur dan Perak namun kini orang ramai boleh mengunjungi kedainya yang terletak di Uptown Danau Kota, Kuala Lumpur pada setiap hari Rabu hingga Sabtu bermula pukul 9 malam hingga 2 pagi. –
Anugerah usahawan komuniti
Bercerita lanjut tentang kisah pertama kali menceburkan diri dalam bidang lukisan inai, Azreena berkata, ia bermula ketika dia sedang melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti.
“Disebabkan terlalu minat dengan lukisan inai, saya selalu melukisnya di buku. Apabila pensyarah melihat saya melakukan perkara itu, dia terus minta saya lukis inai di tangannya meskipun pada ketika itu saya tidak begitu mahir lagi.

“Kemudian, dia berpuas hati dan mempromosikan kemahiran tersebut kepada pelajar lain. Bermula daripada situlah saya sering mendapat tempahan daripada rakanrakan untuk melukis inai terutama ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri,” ujar bekas pelajar bidang kecantikan terapi dan pengurusan spa ini.
Pernah menerima Anugerah Usahawan Kolej Komuniti, dia turut menitipkan pesan kepada pelukis inai di luar sana agar sentiasa melukis tidak kira di buku mahupun tangan agar lukisan inai lebih teliti, kemas dan cantik dipandang. – WILAYAHKU
INFO:
Alamat: Uptown Danau Kota, Kuala Lumpur
Waktu operasi: 9 malam hingga 2 pagi
Hubungi: 017-483 8273
Instagram: @areynavintage (hennabyareyna)