Oleh KHAIRUL IDIN
BAGI merealisasikan Program Penghijauan Malaysia, Perbadanan Labuan (PL) melaksanakan penanaman sebanyak 350 anak pokok di Kawasan Padang Majal Kampung Pohon Batu, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (Pembandaran), Fadzilah Mahmud berkata ia merupakan program kesedaran kepada orang ramai menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula pada tahun 2021 – 2025 bertujuan untuk memelihara dan melindungi alam sekitar.
“Program ini dapat memupuk semangat kecintaan terhadap alam sekitar dan landskap dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi (IPT), agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan belia.
“Sebelum ini, PL juga telah melaksanakan beberapa inisiatif Go Green antaranya kempen low carbon iaitu penanaman pokok di institusi-institusi pendidikan dan agensi-agensi kerajaan serta penanaman pokok teduhan di bandar dan di sepanjang jalan-jalan utama bagi merendahkan suhu bandar dan penyerapan karbon,” katanya ketika merasmikan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran PL, Gilbert Chin Hsing Lin dan Pegawai Rakan Muda Jabatan Belia Dan Sukan WP Labuan Zulhairi Isnean.
Mengulas lanjut, Fadzilah berharap dengan program yang dilaksanakan secara berterusan itu dapat merimbunkan kehijauan di Wilayah Persekutuan Labuan seterusnya mengurangkan ancaman perubahan iklim dan kesan rumah hijau.
“Usaha menghijaukan seluruh pulau ini hendaklah menjadi tanggungjawab kita bersama agar dapat menyahut Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bermula pada tahun 2021 – 2025,” jelas beliau. – WILAYAHKU