Oleh DEEL ANJER
SANGAT membanggakan kita sebagai rakyat Malaysia apabila penyanyi Aina Abdul terpilih mewakili negara untuk beraksi di pentas global Festival Muzik ABU TV 2023 anjuran Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) yang berlangsung di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.
Penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 yang dihoskan oleh stesen televisyen nasional Sistem Penyiaran Korea (KBS) itu menyaksikan pembabitan seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara dalam menjayakan acara penuh gemilang itu.
Aina yang beraksi cemerlang menyanyikan lagu Terus Hidup berjaya memukau hampir 2,000 penonton di dalam dewan sekali gus tidak menyangka diberi peluang berharga itu.
“Berpeluang mewakili Malaysia untuk beraksi di pentas antarabangsa adalah satu penghormatan yang cukup istimewa.
“Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni saya, bahkan boleh disifatkan antara salah satu pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi.
“Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai oleh peminat seluruh dunia manakala KBS pula adalah antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis ternama K-Pop.
“Mengetahui bahawa program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan saya akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, saya tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan ini.
“Walaupun hanya menyanyikan sebuah lagu sahaja, saya bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia tercinta di persada dunia,” katanya.
Dalam masa yang sama, Aina berharap dia mampu menembusi pasaran muzik di Korea Selatan suatu hari nanti.
“Mana tahu, mungkin selepas mereka menonton program itu, nama saya di Korea Selatan semakin diingati, peminat semakin bertambah dan mereka mula mengikuti evolusi muzik Aina Abdul,” katanya. – WILAYAHKU