Oleh HAZIRAH HALIM
BAGI meningkatkan kualiti pembelajaran khususnya kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyumbang 50 Aplikasi Pandai Premium kepada Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di sekitar Kuala Lumpur.
Menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara telah melancarkan inisiatif ‘Memperkasakan Pembelajaran Dalam Talian’ untuk membantu khususnya golongan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi mendapatkan akses pendidikan digital untuk menghadapi peperiksaan SPM.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata aplikasi ini merupakan salah satu langkah penting dalam membantu memperkasakan pembelajaran dalam talian.
“Kami berharap mereka mendapat manfaat daripada program ini di samping meningkatkan pencapaian akademik sekali gus berjaya dan cemerlang dalam SPM,” ujar beliau kepada Wilayahku selepas menyampaikan serahan sumbangan aplikasi dalam talian di Dewan Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Dalam majlis yang sama, Air Selangor menyampaikan 175 langganan Pandai Premium kepada 70 anak warga kerja Air Selangor, 50 pelajar SPM di bawah PREPKOM YWP dan 55 pelajar di Kampung Batu 3, Semenyih.
Turut hadir Timbalan Pengurus Besar, Jabatan Pembangunan Komuniti, Komunikasi Strategik dan IT YWP, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Pandai Education Berhad, Khairul Anwar Mohamad Zaki, berkata melalui teknologi aplikasi tersebut ‘Pandai Learning’ yang direka khas bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi mereka melalui pelbagai alat pembelajaran yang interaktif, mampan dan lestari.
“Pandai Premium merupakan pelan langganan lengkap yang membolehkan semua soalan latihan, ujian, bantuan secara one to one, tuisyen online dalam semua subjek dan contoh soalan peperiksaan untuk ulang kaji pada bila-bila masa.
Ia diperkenalkan pada awal bulan Januari 2020 dan telah membantu seramai 611,318 pelajar melakukan sebanyak 231,270,127 latihan, ujian dan peperiksaan.
Inisiaitif ini turut mendapat sokongan oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Perbadanan Kota Buku serta National Stem Association. – WILAYAHKU