Berita

Spekulasi harga ayam bakal naik, kerajaan jamin tetap munasabah

AKSES kepada bekalan ayam diperluaskan melalui Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah.
- Diterbit 2 November 2023 10:25 PM MYT

ISU hangat yang tular di media sosial serta menjadi bualan ketika ini, tidak lain tidak bukan sudah tentu isu subsidi harga ayam yang telah ditamatkan bermula 1 November 2023.

Ramai yang memberi komen tidak senang dengan keputusan kerajaan menarik subsidi tersebut. Malah, tidak kurang juga yang menuduh kerajaan seolah-olah tidak lagi prihatin dan menyusahkan rakyat.

Biasalah, kadang-kadang mereka ini terlalu emosi dan bercakap tanpa memikirkan kenapa perkara tersebut diputuskan. Sudah tentulah ada yang terbaik di sebaliknya iya tak?

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, kerajaan bertindak sedemikian sudah tentulah untuk kebaikan seluruh rakyat.

“Rasional untuk penamatan subsidi secara pukal bagi ayam ini adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

“Dalam masa yang sama, kerajaan akan memastikan dan memberi jaminan harga ayam dijual dengan harga yang munasabah. Kerajaan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara.

“Ia bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa,” ujar beliau baru-baru ini.

Di samping itu, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Oktober 2023, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna.

Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab di peringkat runcit.

“Kerajaan akan terus memberi penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana dan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.

“Langkah ini akan memberi peningkatan dari segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong di pasaran,” kata beliau.

Biarpun telah menarik subsidi namun pihak kerajaan bukanlah kejam untuk melihat rakyat menderita. Malah, sudah ada jaminan bahawa harga ayam munasabah. Kita perlu tunggu dan lihat, setiap apa yang dilaksanakan pastinya ada sebab yang tersendiri.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam selepas mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas