KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memberi jaminan semua proses perolehan akan dilaksanakan dengan lebih tegas, cekap dan mengikut prosedur yang ditetapkan walaupun ketika situasi darurat atau kecemasan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata KKM juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap segala teguran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menerusi laporan Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang diterbitkan pada Isnin.
“KKM akan mengambil pendekatan lebih tegas dan cekap dalam proses perolehan walaupun dalam keadaan darurat mahupun waktu kecemasan. Ia dibuat mengikut prosedur yang betul, itu pendirian KKM,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Pada Isnin, PAC mengeluarkan laporan itu yang mendedahkan tiada kontrak atau perjanjian digubal antara KKM dan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB) dalam perolehan ventilator ketika negara berdepan penularan wabak COVID-19 pada 2020.
Laporan itu turut mendedahkan Penasihat Undang-Undang KKM juga tidak dirujuk semasa proses penyediaan surat pelantikan PLSB.
Disebabkan tiada perjanjian bertulis antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.
Laporan setebal 120 muka surat itu turut mendedahkan perbincangan, penilaian dan keputusan berhubung perolehan ventilator terpaksa dilaksanakan di luar kebiasaan iaitu melalui aplikasi WhatsApp disebabkan kekangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan faktor kesegeraan serta keterdesakan situasi ketika itu. – BERNAMA