Berita

Ikrar terus bela Palestin, Malaysia tidak takut ancaman eropah – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Diterbit 26 Oktober 2023 11:00 PM MYT

Oleh SYED HAZIQUE

MALAYSIA tidak perlu gentar dengan ancaman dari pihak Eropah ekoran daripada kelantangan suara membela nasib rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, Malaysia akan terus memberikan sokongan jitu terhadap rakyat Palestin.

Anwar turut menyatakan, wujud seorang ahli parlimen dari Eropah yang dipercayai mengusulkan sekatan terhadap Malaysia.

Jelas beliau, perkara itu tidak sesekali menjejaskan kedudukan beliau sebaliknya tugas dan tanggungjawab akan dipikul seperti biasa.

“Ada ahli parlimen dari negara Eropah yang membangkitkan, ada usul langsung berhubung sekatan terhadap Malaysia. Ia tidak menjadi masalah, jadi kita jangan hiraukan soal itu (usul sekatan), kita hanya ada urusan kerja dan kita akan teruskan.

Razarudin

“Kita terpaksa menyuarakan pandangan berhubung isu penindasan Israel terhadap Palestin bagi menyatakan solidariti daripada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui ketika hadir melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU), baru-baru ini.

Tambah Anwar, tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh rakyat Malaysia, negara mempunyai sistem keselamatan yang baik.

“Kita masih ada pasukan keselamatan yang setiap hari menjaga keamanan negara. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain akan uruskan hal itu.

“Kita tidak perlu bimbang terhadap ancaman tersebut, kita akan terus melakukan kerja kita seperti biasa,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan berhubung isu ugutan tersebut.

Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya memandang serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap perkara itu.

“Kawalan keselamatan terhadap Perdana Menteri menjadi keutamaan kita,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata ugutan terbabit mungkin melibatkan soal ekonomi atau sektor lain seperti eksport negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas