Fokus

Ogy, Jamal kongsi pentas setelah dua dekad

Fauziah Ahmad Daud @ Ogy & Jamal Abdillah. Foto kredit: SYUQQREE DAIN, WILAYAHKU
- Diterbit 26 Oktober 2023 10:20 PM MYT

SETELAH sekian lama tidak digandingkan bersama di pentas nyanyian mahupun lakonan, pasangan hero dan heroin filem Azura yang popular sekitar 80-an, Datuk Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud kembali disatukan dalam Konsert Muzik dan Filem bertempat di Piazza of Pavilion Bukit Jalil baru-baru ini.

Gandingan hebat ini tampil mendendangkan lagu popular dalam filem Azura pada tahun 1984 itu yang berjudul Sandarkan Pada kenangan. Menariknya pada malam tersebut, penonton turut dihiburkan dengan sedutan tayangan muzik video lagu ‘berhantu’ itu.

Penyanyi asalnya, Fauziah Ahmad Daud atau mesra disapa Ogy berasa terharu apabila dapat menyanyikan semula lagu tersebut bersama heronya satu ketika dahulu.

FAUZIAH AHMAD DAUD @ OGY

It’s a nice feeling, saya dah berpuluh tahun tidak berduet dengan beliau, Alhamdulillah masih lagi boleh menyanyi. Terus terang, saya rasa amat terharu kerana terpilih bukan sahaja untuk mendendangkan lagu ini malah lagu-lagu yang pernah terkenal di dalam filem lakonan saya juga,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Berkongsi pandangan tentang konsert tersebut, Ogy berkata ia memberi peluang kepada penggiat seni era 80-an untuk mementaskan semula lagu-lagu OST yang pernah mewarnai seni tanah air suatu ketika dahulu.

“Tahniah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mencetuskan idea ini. Apabila ditawarkan untuk mengacara dan bernyanyi di konsert ini, saya terus setuju kerana muzik yang dipetik pada konsert ini berkait dengan filem-filem lakonan saya, jadi saya terus kata why not sebab dah lama sangat tidak bersua dengan peminat filem Melayu.

“Melalui konsert seperti ini, kita dapat menarik kehadiran generasi muda untuk lebih mengenali karya-karya seni tanah air termasuk artis-artis lama yang pernah mewarnai industri seni di Malaysia.

“Sekali lagi tahniah Orkestra Kuala Lumpur di bawah pimpinan Isabella Pek kerana berjaya memberikan yang terbaik melalui gubahan-gubahan lagu yang menarik, rasa seronok dapat bekerja bersama dia dan ahli-ahli muzik yang lain,” kata Ogy. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas