Fokus

Kuala Lumpur bakal jadi pentas seni negara

Barisan artis yang mengadakan persembahan pada Konsert Muzik & Filem pada 21 Oktober lepas di Piazza Pavilion Bukit Jalil. Foto: SYUQQREE DAIN, WILAYAHKU
- Diterbit 26 Oktober 2023 10:10 PM MYT

Oleh DIANA AMIR
Foto oleh SYUQQREE DAIN
Video oleh AMIN FARIJ HASSAN

TANPA muzik, apa sahaja babak dalam sesebuah filem mahupun drama akan sukar diingati. Dek kerana itu, lagu runut bunyi (OST) merupakan antara hal penting dalam memastikan sesebuah naskhah tersebut malar segar.

Misalnya, di Malaysia, pada era sebelum milenium, banyak menyajikan filem diiringi muzik yang boleh dianggap hebat dan kekal di ingatan generasi zaman-berzaman. Antaranya filem yang tidak asing lagi, Azura yang popular pada era 80-an gandingan hebat Datuk Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud.

Bagi mengangkat kembali lagu-lagu OST filem popular era tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil mengadakan Konsert Muzik dan Filem pada 21 Oktober 2023 lalu bertempat di Piazza Pavilion Bukit Jalil.

JAMAL ABDILLAH

Antara filem nostalgia yang diangkat pada malam tersebut adalah filem Ali Setan, Marah-Marah Sayang, Jejaka Perasan, Mr Os, Kembara Seniman Jalanan dan tidak ketinggalan filem komedi drama keluarga Malaysia pada tahun 2009, Papadom arahan Datuk Afdlin Shauki.

Konsert yang diiringi pemain Orkestra Kuala Lumpur DBKL itu ternyata memberi impak yang berbeza dengan pelbagai elemen dan susunan muzik baharu bagi mempersembahkan semula lagu-lagu yang menjadi siulan ramai tersebut.

SHAH REZA, EBBY SAIFUL, ISMA ALIFF

Menurut Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Afdlin Shauki Aksan, antara inisiatif penganjuran konsert tersebut adalah untuk mempertontonkan Orkestra Kuala Lumpur DBKL kepada warga kota.

Afdlin Shauki

“Kita sangat beruntung dapat menyaksikan persembahan yang julung-julung kali diadakan di mana pentas ini menghimpunkan kembali penyanyi-penyanyi popular pada era 80-an.

“Rasa nostalgik. Nyanyian mereka membawa kita kembali ke zaman dahulu di mana suatu ketika itu filem dan muzik sangat hebat di Malaysia.

“Konsert ini untuk mendekatkan lagi muzik orkestra dengan rakyat menggunakan filem-filem popular dahulu di mana kita semua tau dengan OST ini juga membantu memudahkan orang ramai menerima muzik orkestra,” jelas beliau yang juga merupakan Pengerusi YWP Media Sdn. Bhd.

Tambah Afdlin, idea konsert tersebut adalah daripada pihak DBKL sendiri yang juga merupakan Ketua Orkestra Kuala Lumpur DBKL bagi Konsert Muzik dan Filem.

“Kita perlu memperbanyakkan lagi konsert seperti ini mungkin selepas ini kita boleh mengangkat tema lain pula.

“Seperti kita tahu, seni adalah satu cabang di mana kita boleh memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Penganjuran ini juga dapat mengumpulkan kaum Melayu, Cina dan India untuk sama-sama menyaksikan dendangan lagu-lagu Melayu.

AFDLIN SHAUKI

“Muzik adalah universal sama seperti sukan yang mampu menyatukan semua kaum di mana setiap kaum mempunyai warisan tersendiri dan melalui seni kita menghormati setiap budaya, filem dan lagu masing-masing,” ujar beliau perkara tersebut antara yang ‘mahal’ di Malaysia yang tidak dijumpai di negara lain di mana perpaduan wujud melalui seni, sukan serta warisan.

Berkongsi mengenai hala tujunya dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya seni, Afdlin berkata dengan kerjasama DBKL, aktiviti seni akan diperbanyakkan seterusnya menjadi platform menonjolkan bakat.

“Perbincangan juga akan diadakan dalam menambah baik kemudahan persembahan jalanan seperti busker bagi memudahkan mereka mempersembahkan aktiviti seni dengan lebih mudah di sekitar Kuala Lumpur.

IMUDA

“Selain itu, kita juga akan melihat lebih dekat cara perlesenan untuk teater serta art street bagi memudahkan warga kota berseni,” ujar beliau mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama menunjukkan kehebatan seterusnya menjadi pelapis arena seni.

Pengarah filem Harimau Malaya ini juga turut berharap lebih banyak aktiviti seni dapat diadakan di Kuala Lumpur terutamanya dalam menarik lebih ramai golongan muda.

ARTEH

Terdahulu, Konsert Muzik dan Filem menghimpunkan barisan selebriti ternama seperti Imuda, Datuk Seri Shah Reza, Ebby Saiful, Isma Aliff, Arteh dan tidak ketinggalan Afdlin Shauki yang mendendangkan lagu-lagu popular pada era 80-an antaranya Marah-Marah Sayang, Sandarkan Pada Kenangan dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas