Oleh DEEL ANJER
PELAKON popular, Nadhir Nasar, 27, tidak takut disekat atau tidak menerima tawaran daripada mana-mana pihak berikutan kelantangannya berhubung isu Palestin.
Bagi Nadhir, selebriti mempunyai kelebihan tersendiri dalam menyuarakan isu Palestin.
“Kalau ada yang rasa takut disekat oleh mana-mana jenama, apa yang saya boleh katakan semua itu hanya sementara. Apa yang kita miliki ini sementara sahaja.
“Jadi perjuangan yang saya buat ini adalah untuk perjalanan sendiri lebih jauh lagi. Sampai bila mereka akan sekat kita? Saya ada platform dan pengaruh untuk cakap perkara yang benar. Tak perlu takut hilang punca rezeki,” katanya.
Nadhir berkata demikian ketika majlis sidang media drama terbaharu lakonannya berjudul My Famous Ex-Boyfriend yang turut menampilkan Hael Husaini dan Qasrina Karim.
Jelas Nadhir, dia nekad dan mempunyai prinsip akan terus lantang bersuara dalam menentang kezaliman ke atas Palestin.
“Apa lagi yang boleh saya buat? Kalau nak pergi berperang, adakah iman saya sudah cukup kuat? Adakah saya boleh selamatkan mereka? Jadi ini sahaja cara saya untuk tunjukkan sokongan terhadap saudara Islam di sana yang ketika ini sedang menderita,” ujarnya.
“Tak kisahlah seseorang selebriti untuk sokong bermusim. Buat baik sedikit pun sudah cukup daripada tidak melakukan apa-apa. Siapa yang tak buat apa-apa tindakan itu lebih teruk,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU