Berita

Warga kota teruja sertai jelajah pengembaraan Pasport 50WP

pasport 50wp boleh dimanfaatkan warga kota bermula 1 Oktober hingga 25 Februari 2024.
- Diterbit 13 Oktober 2023 4:23 AM MYT

INISIATIF Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menganjurkan Program Pasport 50WP bermula 1 Oktober hingga 25 Februari 2024 memberi peluang kepada orang ramai dari seluruh negara untuk meneroka 50 lokasi (checkpoint) bersejarah, tersembunyi (unsung places) dan memukau (hidden gems) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menariknya, ada di antaranya yang turut mengambil peluang ini untuk meluangkan masa bersama insan tersayang sambil bersiar-siar menikmati keindahan, keunikan dan kepelbagaian lokasi-lokasi pelancongan menarik di sekitar Wilayah Persekutuan.

Mengakui perkara itu, penjawat awam, Mohammad Zahiruddin, 28, berkata dia sangat teruja untuk mengikuti program tersebut dan bercadang bercuti di Labuan bersama isteri sambil mengunjungi tempat-tempat menarik di kawasan berkenaan.

“Saya baru selesai mengunjungi beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya tetapi dengan peruntukan masa pengembaraan yang panjang sehingga tahun hadapan, sempat la nanti nak habiskan,” katanya kepada Wilayahku.

Berkongsi pandangan mengenai inisiatif itu, Zahiruddin berkata ia merupakan langkah terbaik untuk memberi pengetahuan baharu kepada seluruh rakyat Malaysia tentang keunikan Wilayah Persekutuan.

“Melalui Pasport 50WP ini juga, ia dapat meningkatkan sektor eko-pelancongan negara di samping menarik kunjungan penduduk Malaysia dari negeri lain untuk menyertai penggembaraan yang menyeronokkan ini.

“Sejujurnya, sebelum ini saya tak tahu ke mana lagi ingin pergi di Wilayah Persekutuan tetapi dengan adanya program seperti ini, ternyata banyak lokasi menarik yang terdapat di sini misalnya Pusat Percetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia, Nasyrul Quran Village,” ujarnya.

HAIQAL

Berkongsi pandangan yang sama, Muhammad Haiqal Badrul Hisham, 23, berkata program tersebut membawa generasi muda mendalami sejarah dan warisan yang terdapat di sekitar Wilayah Persekutuan.

“Mungkin ada dalam kalangan generasi muda yang kurang gemar mengunjungi muzium tetapi inilah masanya untuk mereka ke sana,” ujarnya menyarankan orang ramai merebut peluang menarik tersebut.

Terdahulu, Program Pasport 50WP adalah Program Roadmap Challenge yang merupakan salah satu daripada pengisian utama dalam sambutan 50 tahun Wilayah Persekutuan.

Bagi anda yang ingin menyertai program ini, boleh mendapat Passport 50WP secara percuma di pickup point yang tersenarai di laman sosial rasmi JWP dan memulakan pengembaraan untuk mengumpul 50 cop serta berpeluang memenangi hadiah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas