Selebriti

Ingin jual rumah, banyak kenangan sedih… Shila Amzah nafi halau keluarga

- Diterbit 11 Oktober 2023 11:57 PM MYT

PENYANYI Shila Amzah mempunyai alasan tersendiri untuk menjual banglo yang didiami keluarga di Hulu Langat, Selangor.

Tiada niat malah Shila tidak pernah terfikir untuk menghalau keluarga sendiri kerana sedar tanggungjawabnya sebagai anak sulung.

Menerusi sesi langsung di TikTok, Shila, 35, memberitahu, dia ingin menjual kediaman itu kerana ia meninggalkan banyak memori sedih berikutan perceraian ibu bapanya, Datuk ND Lala dan Fauziah Sarman.

Memandangkan kediaman keluarga yang terlalu besar untuk isi rumah seramai lima orang, justeru dia ingin mencari kediaman baharu lebih selesa untuk didiami ibu dan adik-beradik.

“Rumah ini penuh dengan elemen kehidupan yang tak elok dengan kisah silam yang mungkin kita tak nak ingat. Bila ibu bapa bercerai, rumah ini ada kenangan yang tak menyeronokkan.

“Rumah keluarga duduk ini nama saya. Jangan risau tiada siapa yang nak halau keluarga.

“Saya pikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, saya nak jual rumah ini supaya saya boleh beli rumah yang lebih baik untuk mereka.

“Rumah sekarang sangat besar, 9,000 kaki persegi dengan tujuh bilik, kereta boleh masuk 10, ada tiga rumah kucing sedangkan yang duduk di rumah banglo ini hanya lima orang iaitu emak, Syada, Syahir, Amir and Icha. Tak ada orang gaji yang boleh menguruskan rumah ini,” jelasnya.

Isu penjualan rumah milik penyanyi itu mula tercetus selepas adiknya, Syada Amzah memuat naik satu hantaran di Instagram Story (IGs) memaklumkan rumah yang didudukinya bakal dijual.

Rentetan hantaran dibuat adiknya, Shila berkata, mungkin ramai yang skeptikal dan menuduhnya sebagai anak tidak bertanggungjawab.

Tegas dengan keputusannya, pelantun lagu Patah Seribu itu akan menggunakan kuasa veto dalam hal tersebut selain menganggap dirinya sebagai ketua keluarga selama ini.

“Tidak ada perbicangan antara kami sebab yang perlu menjaga rumah itu adalah saya juga.

“Kenapa saya yang bersalah sedangkan hanya nak beri yang terbaik untuk keluarga.

“Saya sudah jadi ketua keluarga sebab tak ada orang nak pikul tanggungjawab ini. Daripada biarkan rumah tak dijaga, lebih baik jual tetapi masing-masing buat saya nampak jahat,” tuturnya.

Akhir-akhir ini kecoh dalam media sosial apabila Syada memuat naik status mempersoalkan rumah yang didiaminya bersama ibu mahu dijual.

Dia turut meluahkan kekecewaan apabila menyamakan situasinya seperti haiwan jalanan yang tidak mempunyai rumah. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas