DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup serta-merta sebanyak 44 buah premis dikendalikan warga asing dalam satu operasi bersepadu sekitar Jalan Kenanga, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.
Serbuan dibuat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi Operasi Bersepadu (Tebah) Terhadap Premis Yang Dikendalikan Warga Asing Siri 5 Tahun 2023.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, kesemua premis itu ditutup di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Sebanyak 51 notis kompaun turut dikeluarkan melibatkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, penggajian warga asing dan melanggar syarat lesen dibawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan selepas ini terus kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan atau pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka tanpa kebenaran sah,” katanya pada Rabu.
Tambahnya, sebanyak 217 aktiviti premis perniagaan melibatkan kedai menjual tudung, kain, pakaian, kasut, beg, aksesori telefon bimbit, peralatan komputer, rokok elektronik (vape) dan lain-lain aktiviti diperiksa dalam Operasi Bersepadu kali ini.
“Seramai 85 orang pekerja dan pengendali premis perniagaan telah diperiksa terutamanya melibatkan warga negara asing.
“Seramai 29 orang pekerja warga asing dari Bangladesh (22), Indonesia (3), Pakistan (3) dan Myanmar (1) telah ditahan oleh JIM kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri menerusi kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, pihak SSM turut mengeluarkan 92 notis kompaun pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang berkaitan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (64 notis) dan Akta Syarikat 2016 (28 notis) ke atas pemilik perniagaan dan syarikat semasa pemeriksaan bersepadu dijalankan.
Sementara itu, menurutnya, pihak JPN juga telah membuat sebanyak 42 semakan dan teguran terhadap individu atau pengendali perniagaan berkaitan penggunaan Kad Pengenalan yang sah berdaftar atau meragukan menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959.
“Operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa di semua lokasi tumpuan (hotspot) yang lain melibatkan aktiviti-aktiviti perniagaan dikendalikan oleh warga asing,” tegasnya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE