Berita

Kerajaan teruskan inisiatif Payung Rahmah, tangani kos sara hidup

Anwar (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kebangsaan mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL) di Putrajaya pada Selasa.
- Diterbit 6 Oktober 2023 1:00 AM MYT

KERAJAAN Perpaduan kekal meneruskan ­program-program ­intervensi melalui inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Agro Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif ini diteruskan dengan ­kerjasama Kerajaan Negeri yang akan ­memanfaatkan rakyat dalam ­usaha berterusan untuk menangani isu kos sara hidup.

“Agensi-agensi kerajaan ­seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ­juga telah diarahkan ­untuk ­lebih proaktif bertindak sebagai ­agensi pengedar Beras Putih Tempatan (BPT) ­terutama ­bagi ­kawasan-kawasan pedalaman ­sebagai usaha mengurangi kesulitan kepada rakyat dalam ­mendapatkan bekalan beras susulan langkah ­intervensi yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam (Isnin),” katanya.

Beliau berkata ­demikian ­dalam satu kenyataan selepas ­mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) di Putrajaya pada Selasa.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, menteri ­berkaitan dan pemain industri, wakil badan bukan kerajaan (NGO), ­wakil pertubuhan serta ahli akademik yang merupakan ahli-ahli Majlis NACCOL.

Ujarnya, mesyuarat tersebut berbincang berkenaan kawalan harga bagi ayam bulat standard dan telur ayam yang telah dilaksanakan sejak Februari 2022.

Ia supaya hala tuju kawalan harga ayam dan telur dapat ­dimuktamadkan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan.

Menurut Anwar, ­pihaknya ­prihatin terhadap ­kepentingan ­rakyat ke atas akses bekalan ubat yang lebih kompetitif ­harganya ­supaya rakyat mengetahui ­harga yang perlu dibayar dan mampu ­untuk membuat pilihan.

“Ia turut menjadi ­keutamaan kerajaan untuk memastikan ­mekanisme penjualan ubat adalah lebih telus untuk manfaat rakyat melalui mekanisme paparan harga,” katanya.

Beliau berkata kerajaan ­juga ­peka terhadap kemungkinan ­gangguan bekalan gula sekiranya ­tiada tindakan segera ­dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan ­peningkatan harga gula mentah dunia.

“Sehubungan itu, kesemua ­perkara ini akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh ­masa ­terdekat ­bagi mendapatkan ­hala tuju serta dimuktamadkan.

“Mesyuarat turut ­mengambil maklum perancangan serta ­pelaksanaan Pangkalan Data Utama Kerajaan (PADU) oleh Kementerian Ekonomi,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat tersebut telah ­mendapatkan penjelasan ­daripada Bank Negara Malaysia (BNM) ­bahawa bank utama dan ­penyedia perkhidmatan ­e-dompet yang ­menerima pembayaran ­melalui DuitNow QR ­mengumumkan bahawa mereka akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil.

“Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) ­juga akan ­memperuntukkan sumber ­bagi membantu membiayai kos yang ditanggung oleh ­penyedia ­perkhidmatan ­pembayaran ­terutamanya ­penyedia bukan bank yang terus ­menawarkan ­pengecualian penuh ­kepada ­perniagaan mikro dan kecil,” katanya.

Tegasnya lagi, penekanan agenda utama kerajaan dalam ­meringankan beban kos sara hidup rakyat diberikan perhatian yang ­serius agar rakyat menerima ­manfaat ­secara ­terus bagi setiap inisiatif dan strategi yang dilaksanakan.

Dalam pada itu, ­mesyuarat ­berkenaan turut meluluskan ­tiga Kertas Pertimbangan dan dua Kertas Makluman yang menjurus isu berkaitan kos sara hidup telah ­dibentangkan semasa mesyuarat tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas