Atlet Wilayah

Perlu semangat juang tinggi Safwan Arif fokus sukan menembak

Safwan Arif
- Diterbit 6 Oktober 2023 12:00 AM MYT

Oleh: SABRINA SABRE

TEKANAN yang tidak ­diuruskan dengan baik mampu menjejaskan ­faktor kesihatan dan kerana itu kita ­disaran menjadikan aktiviti sukan sebagai rutin bagi menghilangkan masalah tersebut.

Mengakui kebenaran ­tersebut, penembak muda, Safwan Arif Abdul Aziz berkata ­menembak ­mempunyai keistimewaan ­tersendiri yang dapat ­menghilangkan tekanan apabila individu tersebut fokus ke arah sasaran.

AKSI Safwan Arif ketika Kejohanan Menembak Selangor di Subang.

“Percayalah, ketika itu ­kita akan ­terlupa ­tentang ­masalah yang ­dihadapi untuk ­seketika. Ia ­merupakan satu teknik ­melepaskan geram seiring dengan bidikan tersebut.

“Menjadikan aktiviti ­menembak sebagai rutin bukanlah ­perkara yang sia-sia memandangkan ia ­memiliki keistimewaan ­tersendiri ­seperti mendidik diri untuk ­berdisiplin, fokus serta memupuk minat ­terhadap aktiviti mencabar,” ­ujarnya kepada Wilayahku.

Menyingkap ­permulaannya ­dalam sukan tersebut, atlet ­berusia 19 tahun itu berkata minat ­terhadap sukan menembak tercetus sejak di bangku sekolah lagi selain ­berbekalkan minat yang mendalam.
“Minat menjadikan saya lebih bersemangat untuk ­menyumbangkan pingat emas ­dalam setiap acara ditambah pula dengan dorongan keluarga yang ­memberi galakan dan sokongan tidak ­berbelah bahagi,” ujar anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini.

Mula menembak seawal usia 14 tahun, atlet Wilayah Persekutuan ini memiliki cara yang tersendiri untuk kekal fokus.

Safwan Arif

“Setiap orang mempunyai cara tersendiri, bagi saya antara ­kunci utama adalah tidur yang cukup antara tujuh hingga ­lapan jam, ­pemakanan seimbang ­serta membuat latihan fizikal untuk mengekalkan kecerdasan minda,” ujar pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang ini.

Di samping itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur ini berkata ­sebagai seorang atlet, segala cabaran, ­kecederaan serta kesukaran ­dialami harus diketepikan sebaik kaki menapak memasuki lapang sasar menembak dan wajib ­digantikan dengan semangat juang yang tinggi.

“Cabaran paling utama adalah kerana sukan ini memerlukan atlet berlawan dengan diri sendiri ­secara individu untuk mengutip mata yang diperlukan. Selain itu, kita harus ­rajin berusaha memperbaiki ­prestasi persembahan di ­gelanggang pertandingan,” ­tambahnya latihan berterusan ­sangat penting ­untuk ­meningkatkan teknik dan ilmu menembak.

Dalam masa sama, Safwan Arif ­berkata dirinya kini ­giat ­menjalani latihan empat kali seminggu ­bersama jurulatih pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ­dalam persediaan melayakkan diri ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan diadakan di Sarawak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas