BERMULA Oktober ini, orang ramai perlu membayar caj parkir jika meletakkan kereta di Presint 15, Putrajaya sama ada di bahu jalan mahupun di kawasan Tempat Letak Kereta Bertingkat (TLKB) yang disediakan susulan Penguatkuasaan Tempat Letak Kereta (TLK) yang dilakukan oleh pihak Perbadanan Putrajaya (PPj).
Menurut Pengarah Bahagian Trafik dan Pengangkutan Awam PPj, Mohd Suzilan Sahak, antara tujuan utama menguatkuasakan semula pengoperasian TLK adalah untuk menggalakkan orang awam membayar caj TLK.

“Selain itu, ia juga membantu aktiviti komersial di kawasan Nadi@15, Presint Diplomatik Presint 15 yang menjadi tumpuan orang awam serta sekali gus dapat mengurangkan masalah double park dan kesesakan lalu lintas,” katanya kepada Wilayahku semasa sesi temu bual penguatkuasaan TLK di Presint 15, Putrajaya pada Selasa.
Mohd Suzilan berkata di Presint 15 terdapat dua lokasi berbeza buat orang awam meletakkan kenderaan iaitu TLK Bahu Jalan (‘On Street’) dan TLKB yang terletak di tengah-tengah kawasan komersial Presint 15.
“Kadar pembayaran TLK boleh dilakukan secara pembayaran tanpa tunai (cashless) dengan menggunakan aplikasi mudah alih Flexi Parking.
“Kadar caj untuk TLK adalah RM0.50 per jam. Waktu operasi akan bermula pada pukul 8 pagi hingga 6 petang setiap hari (Isnin hingga Jumaat) kecuali Sabtu, Ahad dan cuti am.
“Pengguna boleh menggunakan telefon mudah alih dan memuat turun aplikasi Flexi Parking di Google Play Store bagi pengguna Android atau Apple Store bagi pengguna iPhone,” ujarnya sebanyak 515 petak kenderaan disediakan bagi TLK Bahu Jalan.
Dalam masa sama, Mohd Suzilan memberitahu untuk Tempat Letak Kereta Bertingkat (TLKB) caj yang dikenakan kepada pengguna adalah RM1 sekali masuk (per entry).
“Pengguna boleh memuat naik aplikasi JomParking atau menggunakan kad sentuh Touch ‘n Go untuk pembayaran.
Kadar caj ini adalah kadar promosi terhad yang dikenakan kepada pengguna bermula dari 1 Oktober sehingga 31 Disember 2023 (tiga bulan sahaja) bagi menggalak pengguna menggunakan TLKB.
“Untuk waktu operasi TLKB ini adalah 24 jam setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad,” tambahnya TLKB mempunyai dua blok bangunan iaitu Blok A dan Blok B dengan keseluruhan petak parkir sebanyak 790 petak.
Selain itu, beliau memaklumkan kemudahan pas bulanan bagi TLKB Presint 15 adalah layak dimohon oleh individu yang bekerja sekitar bangunan pejabat di lot-lot komersial atau pemilik premis berkelayakan.
“Kadar pas bulanan sebanyak RM150 sebulan/petak bagi penyewa premis Nadi@15 manakala RM180 sebulan/petak kepada orang awam.
“TLK Petak Khas hanya diberikan kepada pemilik dan penyewa yang mempunyai premis serta kedai perniagaan di Presint 15 dengan dikenakan kadar caj penggunaan sebanyak RM300 sebulan/petak tertakluk kepada syarat-syarat permohonan.
“Saya berharap arahan dan peraturan yang berkuat kuasa bagi kepentingan bersama untuk menggunakan TLK yang disediakan ini dapat dipatuhi oleh semua untuk mengelakkan daripada disaman atau dikompaun,” jelasnya pembukaan reruai oleh Flexi Parking di hadapan Mydin Presint 15 selama seminggu turut dilaksanakan bagi memberi tunjuk ajar kepada pengguna untuk menggunakan aplikasi Flexi Parking.
Buat mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian aduan aplikasi pembayaran di 013-240 1233 (JomParking), 1 700 819 612 (Flexi Parking) 012-507 8375 / 012-501 7806 (Operasi Tempat Letak Kereta) dan 03-8887 3000 (Aduan Awam PPj). – WILAYAHKU
