Selebriti

‘Jangan pandang rendah influencer, tak salah ikut trend’ – Baby Shima

- Diterbit 26 September 2023 12:22 AM MYT

PENYANYI popular, Baby Shima tidak pernah menganggap kemunculan ramai influencer atau pempengaruh sebagai ‘ancaman’ kepada artis sepertinya.

Katanya, walaupun  kebanyakan influencer tidak dilahirkan menerusi sesi uji bakat nyanyian, tetapi mereka mempunyai tarikan tersendiri.

Bagi pelantun lagu Pura-Pura Bujang ini, setiap orang mempunyai pandangan masing-masing terhadap influencer.

“Suka atau tidak, berduet atau bekerjasama dengan influencer adalah satu trend yang diikuti oleh sesetengah penyanyi. Malah ada syarikat rakaman mengambil langkah yang sama.

“Trend yang saya maksudkan adalah seperti, dulu kecoh pasal penyanyi ‘mi segera’ kelahiran dari program realiti TV. Banyak pihak mendapatkan mereka untuk bekerjasama. Sama ada duet dalam lagu atau dilantik sebagai duta produk.

“Kemudian munculnya smule. Penyanyi yanhg dikenali melalui Smule dipanggil artis karaoke. Namun tetap menjadi perhatian.

“Sekarang pula zaman influencer. Jadi ketika ini mereka memang menjadi tumpuan,” katanya kepada Wilayahku.

Shima sendiri akui skop bidang seni luas dan mengikut trend adalah pilihan masing-masing.

“Bagi saya tak salah ikut trend kerana ia juga satu kelainan. Dalam masa yang sama, bukan satu paksaan untuk ikut.

“Saya sendiri pernah berduet dengan influencer terkenal Datuk Seri Alif Syukri. Soal bakat itu, ia subjektif dan setiap orang ada penilaian tersendiri.

“Dalam masa yang sama, janganlah pandang rendah terhadap influencer, kerana mereka ada keistimewaan tersendiri yang mungkin menjadi penyebab lagu itu jadi popular atau viral.

“Tidak semestinya perlu menghadiri  uji bakat baru boleh menyanyi atau merakamkan lagu. Seperti yang saya katakan tadi, ia satu trend dan bukannya untuk dinilai dalam pertandingan atau anugerah berprestij,” ujarnya.

Selain trend, berduet dengan influencer juga adalah strategi pemasaran di mana turut dilakukan oleh sesetengah syarikat rakaman.

“Bila sebut soal nyanyian, ia turut melibatkan bisnes  dan bukannya bakat semata-mata.

“Jadi Kalau berduet dengan mereka, lagu yang dinyanyikan mudah viral dan secara tak langsung mempromosi lagu tersebut.

“Rasanya tak salah bekerjasama dengan mereka untuk kebaikan bersama. Tidak timbul soal merosakkan industri,” ujarnya. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas