Selebriti

Komen bawa padah… Netizen ‘disekolahkan’ Liza Hanim, Siti Nurhaliza

LIZA Hanim, Siti Nurhaliza 'sekolahkan' netizen.
- Diterbit 25 September 2023 9:08 PM MYT

TINDAKAN netizen menulis komen seolah-olah menghina dan mempertikaikan bentuk fizikal penyanyi Liza Hanim akhirnya membawa padah.

Netizen yang menggunakan nama akaun Instagram @jab_netizen bukan sahaja ‘disekolahkan’ oleh Liza, malah Siti Nurhaliza yang turut dikaitkan membalas komennya.

Malah artis-artis lain meninggalkan komen tidak bersetuju dengan netizen tersebut seperti Salamiah Hassan, Azira Syafinaz, Haiza, Syura, Azhan Rani, Linda Rafar, Ani Mayuni, Nadia Aqilah dan ramai lagi.

“Maafkan saya Tokti (Siti). Saya tiada niat nak keruhkan keadaan, saya cuma menjelaskan sahaja. Saya peminat Tokti dan Kak Liza Hanim,” luah @jab_netizen yang mengakui kesilapan mengeluarkan komen berbaur hinaan.

Terdahulu, Liza Hanim menegur sikap netizen dalam  hantaran dalam Instagramnya.

“Bukan sentap, bukan. Tetapi saya perlu bersuara.

“Kenapa, orang tak cantik memang tak boleh menang apa-apakah di Malaysia atau peringkat antarabangsa? Orang yang tak putih, hidung tak mancung memang tak bolehkah berjaya di Malaysia ini?

“Ya, betul akak sedar ‘and’ akak sangat bersyukur dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepada akak. Selagi berbahagia bersama keluarga, akak tak kisahlah semua cantik buruk ke akak ini bagi ‘standard’ manusia.

“Allah kurniakan bakat untuk akak boleh menyanyi, tapi akak tak ada rupa paras yang mana semua mahukan putih, cantik, gebu, mancung semua itu. Tapi, akak tetap bersyukur.

“Tergamak nak bagi komen begini, berkali-kali pula. Kenapa? Motif?” tulisnya.

LIZA Hanim, Siti Nurhaliza ‘sekolahkan’ netizen.

Menurut Liza, komen sebegitu tidak sesekali memberi kesan atau mematahkan semangatnya setelah 26 tahun dalam industri.

“Kadang-kadang, bahasa kata itu lagi penting daripada rupa paras, tahu? Akak tak goyang dengan cacian, kutukan dan kritikan sesiapa, tapi, budaya sekarang agak melampau. Kadang-kadang, akak tertanya juga, rupa orang yang tulis ini macam manalah agaknya?

“Tahun ini adalah tahun ke-26 di dalam industri. Pelbagai (perkara) dah yang akak lalui dan hadapi. Jadi, benda kutukan secara halusmu ini tak goyangkan akak, dik. Tapi aku sedih, kau bersikap kurang ajar dan tak sensitif.

“Hantaran ini untuk semua yang pernah kena kutukan macam akak untuk kita bangkit. Terus kuat dan terus lakukan apa yang membuatkan kita bahagia, untuk diri kita dan keluarga kita.

“Dan kita kena terus bersyukur kepada Allah SWT atas segala kurnianya. #akutakcantiktapiakubahagia,” katanya.

Siti yang terkait sama dalam komen itu turut tampil bersuara di ruangan komen dan kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu di sebalik akaun Instagram itu.

“Tulisan daripada @jab_netizen jelas menunjukkan keperibadiannya yang tidak baik dan hati yang hitam. Jangan menyentuh soal fizikal, sebab semu orang tidak sempurna. Kesal dengan kelantangan netizen yang konon pandai menilai tapi sebenarnya menyerlahkan lagi kebodohannya.

“Kakak sayang, Liza Hanim, teruskanlah perjuangan kerana setiap pengorbanan dan kesungguhan, Allah SWT janjikan kejayaan!! Inilah masanya. Semoga Allah SWT permudahkan segalanya buatmu, kak!” tulisnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas