KERAJAAN akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan wilayah Sabah serta Sarawak menerusi pelbagai projek dan inisatif yang baharu bagi tempoh akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menyerahkan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri Sabah.
“Penyerahan kuasa tersebut dijangka dapat dimuktamadkan menjelang Januari tahun hadapan.
“Melalui penyerahan kuasa itu, kerajaan negeri Sabah memiliki wewenang untuk mengawal selia bekalan gas dan elektrik berdasarkan kepentingan negeri,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya lagi, projek pembangunan sistem tenaga boleh baharu dan menaik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan Felda Sahabat juga akan dilaksanakan bagi menambah baik daya harap bekalan elektrik di negeri di Bawah Bayu itu.
“Projek dengan kos sebanyak RM195 juta ini akan memanfaatkan rakyat di kawasan tersebut dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya.
Sementara itu, katanya, bagi menambah baik sistem pendidikan bagi kedua-dua wilayah itu, kerajaan akan membangunkan atau membina semula bangunan-bangunan daif di sekolah.
“Sehingga kini, sebanyak 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek lagi di Sabah,” katanya.
Selain itu, katanya, sebuah pusat darah wilayah akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak bagi meningkatkan kemudahan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih saksama.
“Sabah dan Sarawak juga akan mendapat manfaat pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang mampan dan berdaya tahan dengan pembinaan Sarawak-Sabah Link Road II dan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1B,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan turut melaksanakan Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
“Dalam kerangka Ekonomi Madani, pendekatan kita sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif,” katanya. – WILAYAHKU – SYED HAZIQUE