Berita

PMX tiba di Labuan bagi lawatan rasmi

- Diterbit 7 Disember 2023 10:21 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Wilayah Persekutuan Labuan hari ini bagi mengadakan lawatan singkat rasmi.

Sebelum itu, beliau turut mengadakan lawatan singkat ke Sabah bagi Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom sebelum berangkat ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketibaan beliau dengan menaiki pesawat khas pada jam 3.57 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan di sambut Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Perbadanan Labuan Senator Tan Sri Anifah Aman.

Pada lawatan rasmi itu, beliau dijadualkan menghadiri Sesi Libat Urus Program Pembasmian Miskin Tegar dan Majlis Ramah Mesra bersama rakyat di Labuan di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan.

Selain itu, Anwar juga dijadualkan akan menunaikan solat Maghrib dan seterusnya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Perancangan Wilayah Persekutuan Labuan bersama pemimpin masyarakat dan agensi Kerajaan sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah malam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Noridah Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas