Berita

PPZ-MAIWP Labuan sasar kutipan zakat perniagaan meningkat 50 peratus.

SEBANYAK 10 wakil syarikat di Labuan menyalurkan kutipan zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP
- Diterbit 5 Disember 2023 11:03 AM MYT

PUSAT Pungutan Zakat Labuan (PPZ- MAIWP) menyasarkan kutipan zakat perniagaan di pulau itu bakal meningkatkan sebanyak 50 peratus daripada hasil kutipan sejumlah RM800,000 kepada RM1.2 juta bagi tahun ini.

Menurut Pengurus Besar Operasi Luar PPZ-MAIWP Fahmi Ismail, bagi tahun 2022 telah mencatatkan hasil kutipan zakat sebanyak RM10.2 juta yang membabitkan pembayar seramai 5,807 orang.

Katanya, daripada keseluruhan jumlah hasil kutipan itu sebanyak RM800,000 merupakan hasil daripada kutipan zakat perniagaan.

“ Ini bermakna sebanyak 8 peratus daripada kutipan zakat tahunan adalah daripada zakat perniagaan, sekaligus membuktikan bahawa zakat perniagaan antara penyumbang terbesar di Labuan.

” Tahun ini kita menjangkakan kutipan zakat perniagaan di Labuan meningkat sebanyak 50 peratus iaitu dari RM800,000 kepada RM1.2 juta,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pembayaran Zakat Korporat 2023 dan Penyampaian Hadiah Kempen Kesedaran Zakat Simpanan dan Wakaf Tunai di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru umat Islam membantu pihaknya merapatkan jurang kutipan dan agihan zakat di Labuan.

Katanya, hasil kutipan zakat di pulau itu amat berbeza dengan jumlah agihan zakat yang disalurkan.

“Bagi tahun ini kutipan PPZ sehingga November sebanyak RM10.7 juta manakala agihan di MAIWP melebihi RM60 juta, jurang ini semakin menjauh, lebih membimbangkan jika ianya terus menjauh.

“Ayuhlah sama-sama kita kita membantu PPZ-MAIWP memperkuatkan usaha dakwah dan kutipan zakat bagi memastikan dana zakat mencukupi untuk diagihkan kepada asnaf yang memerlukan,” jelasnya.

Terdahulu, pada majlis tersebut sebanyak sembilan syarikat iaitu Maybank International Labuan Branch, AFR Asia Pacific Limited, Asian Supply Base Sdn. Bhd., Klinik Bakti, Cahayapack Sdn. Bhd., Preston Shipyard Sdn. Bhd, Desa 7 Resources Sdn. Bhd, Tunas Rakyat Sdn. Bhd. (D’One Mart) dan Victoria Food (Marrybrown Labuan) telah menyalurkan zakat perniagaan dengan hasil kuitpan keseluruhan sejumlah RM788,106.72 . – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas