JAGUH angkat berat, Muhammad Erry Hidayat dan gimnas, Ng Joe Ee masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan (WP) pada Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2021/2022 malam ini.
Menurut Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh, Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan telah bersidang sebanyak dua kali bagi menilai setiap pencalonan mengikut skema pemarkahan yang dipersetujui bersama oleh kesemua Ahli Jawatankuasa Panel Pemilihan.
“Biarpun pandemik COVID-19 banyak merencatkan aktiviti sukan tanah air, kami menerima sambutan menggalakkan daripada persatuan-persatuan sukan untuk mencalonkan atlet terbaik mereka dalam merebut anugerah yang dipertandingkan pada malam ini.
“Pada kali ini, Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2021-2022 juga telah menggunakan skema pemarkahan yang telus dan adil dengan merangkumi kriteria pencapaian di peringkat antarabangsa serta kebangsaan dan juga aspek nilai tambah bagi memastikan pemenang terbaik dinobatkan,” katanya semasa Majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2021-2022 yang diadakan di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya.
Kedua-dua atlet itu masing-masing membawa pulang sebuah Piala Pusingan, hadiah wang tunai RM8,000 dan juga tajaan barangan sukan daripada FELET bernilai RM1,000.
Muhammad Erry Hidayat yang baharu sahaja meraikan ulang tahun yang ke-24, mengetepikan saingan sengit daripada atlet renang, Steve Khiew dan juga S. Prem Kumar (karate).
Badang Wilayah Persekutuan yang juga anak kepada legenda angkat berat negara, Hidayat Hamidun itu melakar kejayaan cemerlang apabila berjaya merangkul pingat perak pada Kejohanan Angkat Berat Asia 2021, pingat perak pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham, pingat gangsa pada Sukan SEA 2022 Vietnam dan turut memperbaharui rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan 310 kilogram (kg) bagi kategori 73kg.
Kejayaan Muhammad Erry Hidayat yang turut dinobatkan sebagai Olahragawan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2022 pada Julai lalu itu menjadikan beliau sebagai atlet angkat berat yang pertama merangkul gelaran Olahragawan Wilayah Persekutuan sejak ia mula dianjurkan pada tahun 2007.
Dalam masa sama, atlet gimrama negara, Ng Joe Ee, 18, dinobatkan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan mengatasi dua penerjun, Nur Dhabitah Sabri dan juga Wendy Ng Yan Yee.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu mempamerkan aksi cemerlang sepanjang 2022 apabila merangkul dua pingat emas dalam disiplin bola dan riben pada Sukan Komanwel di Birmingham dan juga memenangi gelaran Olahragawati Kebangsaan 2022.
Selain itu, Anugerah Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan pula masing-masing dimenangi atlet silat, Muhammad Khairi Adib Azhar dan juga Ain Najwa Muhamad Basri Darul yang membawa pulang Piala Iringan, wang tunai RM5,000 dan juga tajaan barangan sukan daripada FELET bernilai RM1,000.
Muhammad Khairi Adib merangkul pingat emas pada SUKMA XX MSN 2022 dan juga Kejuaraan Silat Kebangsaan kali ke-20 pada tahun 2022 serta merangkul pingat perak pada Kejohanan Pencak Silat Dunia kali ke-19 di Melaka sementara Ain Najwa memenangi pingat emas pada SUKMA XX MSN 2022, pingat perak pada Pertandingan Silat Seni Asli Terbuka dan pingat perak pada Kejohanan Pencak Silat Asia kali keenam pada tahun 2022.
Di samping itu, Anugerah Khas juga turut disampaikan kepada pemain badminton beregu lelaki, Soh Wooi Yik di atas pencapaiannya dalam memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo.
Terdahulu, majlis telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hadir sama Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Noridah Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Sukan Wilayah, Datuk Seri Rosida Jaafar; Timbalan Pengarah JWP, Datuk Parang Abai @ Thomas; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail. – WILAYAHKU