KERAJAAN menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) telah memulakan perbincangan bagi mengembangkan lagi E-Sukan di peringkat akar umbi khususnya sekolah.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata ia berdasarkan kesedaran bahawa pasukan negara mempunyai potensi besar dalam bidang itu yang telah menyaksikan pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa antaranya pada temasya Sukan SEA dan Sukan Asia.
“Oleh itu, pembangunan dari peringkat akar umbi itu penting dan selalunya kita mengharapkan kerjasama yang baik dari peringkat sekolah terutama Majlis Sukan Sekolah Daerah serta Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia tapi sudah tentu perjalanan masih jauh”. – BERNAMA