KONGRES Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak sebarang cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau kecenderungan politik penjawat.
Presidenya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata beliau menyifatkan ia sebagai perkara yang hanya merugikan sumber semasa perkhidmatan awam.
Beliau menegaskan bahawa penjawat awam kekal profesional dalam menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara.
“Sudah pasti setiap penjawat awam mempunyai ideologi dan pandangan politik masing-masing, namun Cuepacs memberi jaminan mereka sangat profesional dan sentiasa berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab selain boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul.
“Sebagai seorang penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Bagaimanapun Adnan berkata, dalam konteks demokrasi penjawat awam itu berhak mempunyai pandangan mereka sendiri tanpa paksaan termasuklah ketika membuang undi pada pilihan raya.
“Tiada keperluan dan kewajaran untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa daripada mana-mana kementerian bagi meninjau kecenderungan politik penjawat awam.
“Cuepacs ingin bertanya kepada pihak yang melontarkan idea ini adakah pengundi di negara ini hanya penjawat awam sahaja sehingga menjadikan kami sebagai perhatian.
“Tidak adil sekiranya keseluruhan penjawat awam disasarkan hanya semata-mata memiliki kecenderungan politik yang berbeza,” jelasnya.
Tambah beliau, daripada sudut penjawat awam sememangnya harus mendokong aspirasi kerajaan yang memerintah, cuma sebagai individu penjawat awam juga ada pilihan apabila tiba masanya untuk memilih.
Menurut Adnan, langkah yang dicadangkan itu juga sebenarnya hanya merugikan negara kerana lebih banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan selain daripada memantau kecenderungan politik penjawat awam.
“Usaha ini sepatutnya ditumpukan sahaja bagi perkara yang benar-benar penting seperti meningkatkan kos taraf hidup rakyat atau apa sahaja perkara yang memberikan kebaikan kepada negara.
“Pihak kami meminta semua ahli politik supaya tidak melibatkan perkhidmatan awam serta warganya dalam kepentingan politik masing-masing, sebaliknya bersama-samalah dengan kami dalam membangunkan negara ini supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,” ujarnya. – WILAYAHKU