Berita

Taklimat Pengurusan YWP bersama agensi – Fahami gerak kerja, tatakelola

SEKITAR sesi taklimat khas YWP dihadiri lebih 100 pegawai kanan dari enam agensi kerajaan baru-baru ini.
- Diterbit 24 November 2023 12:35 AM MYT

DALAM usaha untuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama semua agensi kerajaan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengadakan satu sesi Taklimat Khas mengenai perkhidmatan yang telah dilaksanakannya selama lebih 37 tahun.

Sesi taklimat yang bertempat di Hotel Tamu Kuala Lumpur baru-baru ini disertai seramai lebih 100 orang pegawai kanan dari enam agensi kerajaan di bawah JWP termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Kampong Baru (PKB), Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Pejabat Tanah Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP).

Mengulas lanjut mengenainya, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP (ALPA), Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata sesi taklimat ini diadakan bagi memberi pemahaman lebih lanjut berkenaan aktiviti dan program yang dilaksanakan termasuk gerak kerja dan tatakelola yang perlu dipatuhi.

GHULAM

“Di peringkat Alpa YWP, kita tekankan tiga perkara utama iaitu daripada aspek tatakelola di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak selaku Pengerusi YWP mahu semua warga kerja YWP mematuhi segala polisi dan urus tadbir yang ditetapkan.

“Kedua, PM meminta mempunyai hubungan baik dengan agensi-agensi di Wilayah Persekutuan supaya kita ada kerjasama yang baik, tidak berlaku pertindihan dari segi penerima sekali gus memberi tambah nilai kepada program-program yang bakal dilaksanakan.

“Ketiga, beliau juga meminta kita untuk berhubung dengan syarikat-syarikat korporat supaya ada penglibatan bersama dalam apa-apa program yang dilaksanakan YWP agar ia menepati kehendak industri di samping membuka peluang sosioekonomi yang lebih baik melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat ini,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Gulam, enam agensi yang terlibat di dalam taklimat berkenaan merupakan pihak-pihak yang dapat memberi manfaat dan sentiasa menyokong setiap aktiviti dan program YWP melalui perkhidmatan dan gerak kerja yang tertumpu kepada

lima aspek utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T).

“Di peringkat DBKL, hampir 80 peratus program dan kebajikan yang dilaksanakan oleh YWP adalah bergantung pada peranan dan kerjasama strategik bersama mereka, jadi sudah tentu kita perlu menjelaskan setiap perkara dengan terperinci agar informasi berkaitan YWP difahami dan diterima baik,” katanya.

Semasa sesi taklimat itu, Gulam berkata pihaknya juga menerima beberapa respons daripada agensi terlibat dan berharap ia akan membawa kepada satu kesepakatan dan kerjasama berterusan yang produktif.

“Sudah tentu kita mendapat maklum balas yang baik walaupun hanya dalam masa singkat. Bila kita sampaikan maklumat dan informasi yang tepat baru mereka faham.

“Saya juga berharap di peringkat ALPA, sekiranya ada perjumpaan dengan agensi berkaitan, barisan ALPA dapat turun bersama supaya segala keputusan dan dasar dilaksanakan bersama,” katanya.
Turut berlangsung semasa sesi taklimat berkenaan adalah penyerahan sumbangan Bantuan Khas YWP dan Skim Usahawan Mikro Kredit (SUMK) YWP kepada penerima yang layak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas