ISU pendengaran petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, tidak memburukkan agama Islam atau melemahkan kuasa Mahkamah Syariah.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Menurut beliau, isu yang terdapat dalam sebahagian petisyen tersebut sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan yang dipertikaikan.
Tengku Maimun berkata, semua pihak perlu memahami latar belakang kes dan menggesa terutama pihak terlibat secara langsung dalam petisyen itu supaya mengelak daripada menyebarkan maklumat yang diputarbelitkan bagi mengelakkan salah tanggapan dalam kalangan orang ramai.
“Kami ingin mengingatkan peguam bahawa anda terikat dengan etika profesion anda dan anda tahu adalah tidak wajar untuk membincangkan kes di forum awam, lebih-lebih lagi untuk mendedahkan fakta penuh kes.
“Kenyataan bahawa mahkamah syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak benar, peguam juga gagal mendedahkan fakta bahawa pempetisyen sebenarnya menimbangkan dua daripada 20 peruntukan sebenarnya dalam bidang kuasa negeri Kelantan untuk digubal bermakna mereka ini di bawah Mahkamah Syariah.
“Kami mengingatkan semua orang khususnya peguam untuk menegakkan undang-undang dan bukan untuk memainkan sentimen yang menghasut orang ramai,” katanya.
Tengku Maimun yang mempengerusikan panel sembilan Hakim Mahkamah Persekutuan turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli; Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini; Datuk Mary Lim Thiam Suan; Datuk Harmindar Singh Dhaliwal; Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Sementara itu, Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mencadangkan supaya Ahli Parlimen mempertimbang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, ia sekiranya Mahkamah Persekutuan mengambil keputusan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen negeri Kelantan yang dicabar oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.
“Tindakan cabaran yang diambil oleh pihak Nik Elin tiada kena -mengena sama ada seseorang itu muslim atau seorang itu ada akidah atau tidak sebenarnya.
“Dia hanya mengenai sama ada DUN kelantan mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang yang menurut mereka sebenarnya telahpun dibuat oleh Kerajaan Persekutuan ataupun hanya boleh dibuat oleh Parlimen,” katanya.
Tambah Muhammad Rafique, tugas mahkamah hanya untuk mentafsir undang-undang yang sedia ada sahaja.
“Perubahan sesuatu undang-undang hanya boleh dibuat oleh Parlimen ataupun DUN sahaja.
“Itulah yang ramai dalam kalangan peguam menyatakan bahawa cara yang betul sebenarnya adalah untuk meminda perlembagaan supaya kita nampak dengan jelas,” katanya. – WILAYAHKU