PENGURUSAN kawalan penyakit denggi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencapai objektif mengurangkan kejadian penyakit dan kematian, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.
Bagaimanapun laporan itu memaklumkan terdapat beberapa kelemahan dalam aspek pengurusan yang memberi kesan kepada keberkesanan pengurusan kawalan penyakit denggi seperti pasukan petugas dan peralatan bagi melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan serta kerjasama masyarakat dalam menangani penyakit tersebut.
Laporan itu mengesyorkan KKM mengambil tindakan penambahbaikan seperti meningkatkan aktiviti pencegahan terutama di kawasan yang berisiko tinggi dengan kerjasama komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengurusan bangunan, pihak swasta atau badan korporat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
KKM juga disyorkan agar memberi keutamaan supaya sumber, pasukan petugas dan peralatan dapat diadakan secukupnya bagi memastikan aktiviti pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“KKM disyorkan agar meningkatkan program kesedaran peringkat awal seperti di sekolah, institut pengajian tinggi serta pejabat dengan menyebar luas promosi di media elektronik dan sosial,” menurut laporan itu. – BERNAMA