Berita

KPKWM laksana gerak kerja Pusat Subfertiliti Negara pertama di Malaysia

- Diterbit 21 November 2023 1:32 PM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan akan memulakan gerak kerja bagi penubuhan Pusat Subfertiliti Negara pertama dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pusat itu akan menyediakan khidmat rawatan kesuburan dan kesejahteraian keluarga yang komprehensif termasuk berfungsi sebagai pusat koordinasi penyelidikan, teknologi rawatan terkini serta latihan kepakaran di Malaysia.

“Pusat Subfertiliti Negara dilihat sebagai tepat pada masanya memandangkan sejak lima dekad yang lalu, kadar kesuburuan penduduk negara telah menurun dengan pesat iaitu daripada 6.7 orang anak bagi seorang wanita pada tahun 1957 kepada empat orang anak pada tahun 1980 diikuti tiga orang anak pada tahun 2000.

“Pada tahun 2010 pula, kadar kesuburan penduduk negara mencatatkan 2.1 orang anak dan hanya 1.6 orang anak pada tahun 2022, kadar terendah yang pernah dicatatkan oleh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS) pada Selasa.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yussof; Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Sri Rohani Karim; Ketua Pengarah LPKKN, Abdul Shukur Abdullah; Perwakilan Tetap UNFPA Malaysia, Dr Asa Torkelsson; Pengarah Urusan MERCK Malaysia, Pixie Yee serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

Menurut Nancy, PERKKS23 yang bertemakan ‘Penduduk dan Keluarga Mampan, Membangun Malaysia Madani’ turut menyediakan satu sesi khas perbincangan meja bulat bagi menghasilkan resolusi yang mengandungi cadangan dasar dan langkah intervensi untuk menangani isu penurunan kadar kesuburan penduduk negara.

Ujarnya, semua cadangan yang terkandung dalam resolusi tersebut adalah pelengkap kepada inisiatif intervensi yang sedang dirancang dan digerakkan oleh KPWKM melalui LPPKN.

“Sebagai makluman, penganjuran PERKKS23 pada hari ini dan esok masih meneruskan kerjasama strategik bersama-sama United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia dan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM) selain penglibatan MERCK Malaysia sebagai rakan kerjasama yang baharu,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas