Berita

ASB bina terminal pertukaran kru kapal bernilai RM15 juta

PHOONG (tengah) ketika merasmikan pelancaran Kapal Landing Craft milik ASB Sdn Bhd.
- Diterbit 17 November 2023 1:15 AM MYT

ASIAN Supply Base (ASB) Sdn Bhd ­mengumumkan bakal membina sebuah terminal pertukaran kru ­(pekerja) minyak dan gas bernilai RM15 juta bagi memenuhi keperluan aktiviti ­keluar masuk kru minyak dan gas di perairan Labuan dan Sabah.

Projek terminal yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024 akan menempatkan pelbagai ­a­­gen­­si ­penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia ­serta Jabatan Kesihatan WP Labuan bagi memudahkan pengurusan ­dokumentasi ­pertukaran kru ­minyak dan gas.

Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhee, ­pembinaan terminal itu akan memberi manfaat dan meningkatkan ekonomi Labuan ­dengan ­kemasukan para pekerja minyak dan gas setiap hari.

Katanya, perkembangan positif ini ­dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan ke Labuan ­seterusnya menyumbang ­kepada pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi Labuan.

“Kami memberi ­tumpuan kepada ­perkembangan ­positif ASB sebagai sebuah syarikat berkaitan ­kerajaan (GLC) Sabah dan kami ­harus memastikan operasi terminal pertukaran kru minyak dan gas di pangkalan ASB berjalan dengan lancar.

“Kepulangan ­aktiviti ­penukaran kru ke Labuan akan memberi impak positif yang ketara di ­pulau itu, dengan ­ratusan kru ­tiba dan berlepas setiap hari sebaik pertukaran kru ­bermula,” ­katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Terminal dan Pelancaran dua buah kapal Landing Craft Tank milik ASB iaitu ASB Marine 1 dan ASB Marine 3.

Beliau yang ­mewakili Ketua Menteri Sabah ­berkesempatan meninjau kedua-dua buah kapal Landing Craft Tank yang bakal ­digunakan oleh Petronas
untuk pengangkutan ­bekalan antara ­pantai dan ­luar ­pesisir serta projek Safina Fasa 1.

Hadir sama Pengerusi ASB, Datuk Suhaili Abd Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Japar Esteban dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.

Mengulas lanjut, Phoong ­berkata ASB telah mendapatkan kemudahan pelayaran terus dari pelabuhan ASB ­bagi kru dan kapal ke fasiliti pelantar
minyak di perairan Sabah daripada ­kerajaan Negeri Sabah melalui pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah (PHEDNP) pada 22 April tahun lalu.

“Ia diselaraskan ­melalui Jabatan Imigresen Labuan, sekali gus memastikan pergerakan keluar masuk pekerja ­minyak dan gas ke pelantar minyak lebih lancar di sekitar Perairan Sabah,” jelasnya.

Terdahulu, ASB Sdn Bhd ­adalah sebuah ­(GLC) Sabah yang berpangkalan di Labuan ­mengendalikan ­pangkalan bekalan luar pesisir yang menyokong ­aktiviti ­penerokaan, ­pembangunan dan ­pengeluaran (EDP) minyak dan gas di luar pantai Sabah dan Sarawak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas