SERAMAI 27 ketua kampung menerima Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Wilayah Persekutuan Labuan bagi penggal 2023 hingga 2025.
Sesi penyampaian watikah kepada 27 Pengerusi JPPK tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek di salah sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Dalam ucapan perasmian tersebut, Simsudin berkata pelantikan itu merupakan perkara yang dinanti-nantikan oleh semua pihak terutamanya penduduk-penduduk kampung tersebut.
“Alhamdulillah, perkara ini telah dapat dilaksanakan dengan kesepakatan diantara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah mereka yang telah dipilih untuk menggalas tugas sebagai Pengerusi JPKK atau ketua kampung bagi tempoh dua tahun iaitu bagi tahun 2023 sehingga tahun 2025,” katanya.
Tambahnya, beliau menaruh harapan tinggi kepada barisan Pengerusi JPKK yang telah dilantik untuk memimpin pentadbiran kampung.
“Saya juga mengharapkan setiap Pengerusi JPKK dapat bekerjasama dalam melaksanakan apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, swasta ataupun badan bukan kerajaan (NGO) sekali gus memberi manfaat dan membawa kesejahteraan kepada penduduk kampung.
“Peranan ketua kampung sangat penting untuk memastikan keperluan dan masalah penduduk diambil peduli serta memainkan peranan menjadi orang tengah untuk menyampaikan maklumat dari pihak kerajaan khususnya bagi program dan aktiviti yang melibatkan penduduk,” jelasnya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail. – WILAYAHKU