Berita

Rakyat harus bijak menilai, Kerajaan Perpaduan tidak goyang difitnah

- Diterbit 17 November 2023 12:20 AM MYT

LAPORAN fitnah yang berleluasa semakin hari semakin menjadi-jadi sehingga menyebabkan reputasi serta maruah mangsa fitnah tercalar.

Ledakan-ledakan fitnah daripada si pemfitnah juga tiada henti, dengan bertali arus terus menembak mangsa tanpa fikir kesan atau akibat yang mendatang.

Di kancah politik misalnya, gosip-gosip atau khabar-khabar serta hal-hal bicara sesama para ahli politik itu sudah biasa seperti di kancah layar perak dalam dunia hiburan.

Namun, pada masa kini, khabar angin itu seakan tidak berasas menyebabkan ia menjadi satu fitnah yang sengaja mahu menjatuhkan martabat mangsa yang difitnah itu sendiri.

Penganalisis politik, Mujibu Abd. Muis berkata pihak pemfitnah memerlukan momentum bagi memberikan tekanan berterusan kepada mangsa untuk menarik perhatian serta simpati.

MUJIBU

“Daripada sudut pembangkang, sememangnya kerja mereka untuk menyoal atau berbincang keputusan yang dibuat kerajaan, namun, masa kini banyak tuduhan yang tidak berasas dan bersifat keperibadian.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sering menjadi mangsa tohmahan tidak berasas, namun, pihak Perdana Menteri juga perlu naratif yang bagus untuk menjelaskan situasi atau menyerang balik baru seimbang,” katanya kepada Wilayahku.

Tambahnya, khabar angin, atau drama-drama politik adalah perkara biasa atau lumrah kehidupan dalam arena politik.

Jelasnya, trend politik zaman sekarang berbeza daripada dahulu malah kesan buruk akibat daripada fitnah itu boleh menjejaskan atau membunuh karier ahli-ahli politik yang diftnah atau yang memfitnah.

“Tindakan sewajarnya harus diambil untuk menangani masalah ini, tuduhan tanpa bukti dianggap fitnah, ahli-ahli poltiik perlu berfikir secara rasional terhadap kesannya sebelum menjaja cerita-cerita panas atau sensasi yang boleh menimbulkan fitnah.

“Jika dilihat pelbagai fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan kini, perlu diingatkan negara kita punyai undang-undang untuk menangkis segala deretan fitnah-fitnah yang dilemparkan,” ujarnya.

AZMI

Dalam pada itu, Pakar Geostrategi, yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan menegaskan bukan sahaja Perdana Menteri malah barisan kabinetnya sering diserang fitnah bagi menggoncang kestabilan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Anwar.

“Perkara fitnah ini dilihat seperti mainan atau senjata yang sengaja dilakukan oleh pihak pembangkang untuk terus menjatuh atau menggoncangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

“Sudah banyak tindakan undang-undang yang diambil, namun prosesnya memakan masa, dalam masa sama, rakyat harus bijak dalam menilai sesuatu laporan itu apakah ia fitnah atau benar,” katanya.

Tambah Azmi, rakyat harus menjadi penghukum kepada si pemfitnah demi keharmonian arena politik serta kebaikan negara.

“Retorik berbentuk fitnah tidak diperlukan dalam arena politik tanah air, kita (rakyat) harus bijak dalam meneliti kebenaran sesuatu tuduhan tersebut,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas