Berita

Tujuh wanita Filipina mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan Polis.

- Diterbit 15 Oktober 2023 12:14 PM MYT

SERAMAI tujuh wanita warga Filipina dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan oleh polis Labuan dalam serbuan di dua premis, di sini, pada Jumaat lalu.

Menurut Ketua Polis Labuan Superintendan Mohd Hamizi Halim, semua mangsa berusia lingkungan 25 hingga 33 tahun diselamatkan menerusi Ops Pintas , kira-kira jam 7.30 malam.

Katanya, pihaknya menerima aduan kejadian pemerdagangan manusia membabitkan dua wanita warga Filipina di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat lalu.

Maklumat awal diterima daripada pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur yang menerima panggilan daripada mangsa memohon untuk diselamatkan.

“Kedua-dua mangsa menghubungi pihak Kedutaan selepas melarikan diri dari tempat penginapan mereka.

“Tindakan polis melalui Op Pintas, berjaya menyelamatkan keseluruhan tujuh wanita warga Filipina yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa bekerja di sebuah premis hiburan dalam kawasan bandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan daripada operasi itu, Mohd Hamizi berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Filipina untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati semua mangsa bekerja sebagai pelayan di premis hiburan berkenaan.

“Pemohonan perintah reman ke atas dua tangkapan dari Mahkamah Majistret Labuan telah dibenarkan selama enam hari bermula hari ini hingga 20 Oktober,” katanya.

Mohd Hamizi menjelaskan siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas