Berita

Malaysia akan terus sokong Palestin

AHMAD ZAHID semasa sidang media selepas merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Tangga Batu di Paya Rumput, Melaka hari ini. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 15 Oktober 2023 12:15 PM MYT

MALAYSIA akan terus kekal menyokong perjuangan rakyat Palestin biarpun menerima ancaman bom di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru semalam berikutan sokongan negara terhadap Palestin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sentiasa berjaga-jaga dengan sebarang ancaman diterima namun dalam masa sama menasihatkan rakyat supaya tidak khuatir.

“Pihak polis telah menyatakan itu adalah ancaman yang sengaja dibuat, cuma kita perlu berjaga-jaga dan tidak perlu khuatir pun,” katanya yang juga Presiden UMNO selepas merasmikan Pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin.

Semalam, seorang lelaki warga asing disyaki membuat panggilan telefon mendakwa meletakkan bom di pusat beli belah The Mall Mid Valley Southkey dan St Giles Hotel Southkey dengan amaran supaya berhenti menyokong Palestin.

Ahmad Zahid berkata kerajaan akan terus mengumpul derma bagi membantu rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan  berlanjutan ke atas mereka sejak sekian lama. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas