Biz

COSRY bangkit… Tampil dengan koleksi fesyen raya ready-to-wear 2023

COSRY kini diterajui oleh Ariff Quasry (enam dari kanan)
- Diterbit 4 Mac 2023 1:43 PM MYT

PEMERGIAN Pengarah Kreatif COSRY, Putra Aziz pada Disember 2021 meninggalkan kesan yang mendalam kepada Pengarah Urusan dan Pengasas Butik COSRY iaitu Ariff Quasry Md Din.

Mereka bukan saja rakan perniagaan yang bersama-sama mengasaskan COSRY sejak 2O tahun lalu malah mereka adalah rakan akrab yang tiada galang gantinya.

Pelbagai dugaan dan cabaran yang dilalui Ariff dan Putra dalam membina empayar butik yang terkenal di kalangan VIP, selebriti dan artis ternama tanah air itu.

Sentuhan ‘emas’ Putra menjadikan butik itu antara pilihan utama kepada bakal raja sehari dan mereka yang mengutamakan ketrampilan untuk ke acara rasmi, majlis keraian dan menggayakannya pada musim perayaan.

COSRY kini diterajui oleh Ariff Quasry (enam dari kanan)

Kini Putra tiada lagi dan ‘pemergiannya’ membuatkan Ariff terpaksa mencari kekuatan dalam meneruskan legasi butik itu.

Selepas enam bulan Putra ‘pergi’ , Ariff bangkit semula dan jika selama ini beliau lebih senang berada di belakang tabir COSRY namun kini beliau akan ‘ke depan’ sekali gus meletakkan dirinya sebagai pereka utama COSRY.

“Selepas enam bulan Putra meninggal, pada 4 Jun 2022, butik COSRY yang terletak di Sri Hartamas terbakar dan semua koleksi rekaan Putra yang dikumpul selama 15 tahun turut terbakar tanpa sempat diselamatkan walaupun sehelai.

“Barang kenangan arwah hilang lenyap dalam sekelip mata. Bangkit di atas kesedihan itu, saya yakin pasti ada hikmah di atas setiap ujian Allah SWT ke atas hambaNya, lalu saya kuatkan semangat untuk membina semula COSRY.

“Tragedi itulah yang menjadi titik tolak kepada saya untuk membuka lembaran baru, berfikir secara rasional dan mula merancang untuk memulakan perjalanan baru COSRY,” katanya.

Berkat doa, sokongan keluarga dan kenalan, Ariff dipertemukan dengan Datin Philomena Simeon. Perkenalan mereka bermula apabila Philomena menjadi pelanggan butik dan kebetulan beliau turut meminati bidang fesyen dan tekstil.

Atas persetujuan perbincangan di antara kedua-dua pihak, Philomena kini menyertai pasukan kerja COSRY sebagai pengarah dan rakan kongsi sekali gus melancarkan penjenamaan baharu COSRY yang lebih segar, rekaan untuk semua golongan sasaran terutama orang muda dengan harga mampu milik.

Jelas Ariff, Ketika Putra masih ada, beliau sebenarnya turut memberi idea dan suntikan idea kepada rekaan Cosry namun ketika itu Ariff tidak mahu menonjolkan diri dan memberi sepenuh kepercayaan kepada arwah sebagai ‘wajah COSRY’ .

“Waktu itu saya lebih tertumpu kepada urusan pentadbiran, pembangunan perniagaan dan penjenamaan COSRY.

“Selepas ketiadaan arwah, pernah juga saya mencari Pengarah Kreatif yang baru namun tiada yang bersesuaian dan memahami rekaan atau DNA yang telah kami berdua asaskan sehingga menjadi ‘signature’ kepada setiap rekaan kami berkonsepkan elegen dan klasik.

“Atas persetujuan Datin Philomena, maka saya mengambil alih tempat Putra sebagai Pengarah Kreatif COSRY dengan dibantu dua pereka fesyen.

“Untuk penjenaam semula ini, setiap rekaan adalah ilham dan sentuhan saya sendiri sepenuhnya tanpa ada lagi koleksi Putra. Bukan melupakan ‘magis’ Putra tetapi barangkali ia adalah penyebab untuk COSRY mengkaji semula pasaran dan cita rasa peminat fesyen,” katanya.

Ariff menambah, COSRY akan keluar dengan rekaan baru yang ‘lebih kelihatan muda’ tanpa menumpukan semata-mata kepada golongan VIP dan atasan.

“Jika sebelum ini juga, rekaan COSRY lebih bersifat ‘mature’ tetapi untuk ‘babak baru’ ini, COSRY perlu mendekati dan mencari pelanggan baru yang berusia 25 tahun ke 35 tahun kerana mereka inilah yang akan menyemarakkan lagi industri fesyen tanah air.

“Dalam pada itu, COSRY masih terus bermain dengan elemen lace dan kebaya eksklusif kerana itu adalah DNA asal penubuhan COSRY yang begitu terkenal di kalangan pelanggan kami tetapi kini dengan cara dan ‘style’ saya sendiri.

“Impian saya mahu melihat COSRY digayakan oleh seluruh lapisan masyarakat. Kami turut memperkenalkan rekaan ‘plus size’ dan tidak lagi hanya untuk mereka yang berukuran ‘pinggang secekak’,” katanya.

Tambah Ariff, sebagai Pengarah Kreatif, kini segala keputusan berkaitan pemilihan kain, ‘material, warna dan rekaan akan ditentukannya.

“Pereka fesyen COSRY perlu merujuk kepada saya terlebih dulu dalam pemilihan material, rekaan dan sebagainya.

“Untuk koleksi Hari Raya yang diperagakan hari ini, terdapat 3O koleksi khusus untuk digayakan pada Aidilfitri ini. Tema warna musim perayaan ini menjurus kepada warna pastel tanpa mengabaikan terus ‘warna-warna garang’ seperti ‘shocking pink’.

“Warna-warna garang masih diselitkan dalam rekaan ini kerana ada peminatnya,” katanya.

Pasukan kerja COSRY ada 10 orang termasuk pereka fesyen, tukang potong, tukang jahit baju dan tukang jahit manik.

Butik COSRY yang baharu akan beroperasi di Jalan Maarof, Bangsar yang sedang dalam pengubahsuaian dan dijangka siap pada Jun ini.

PELAKON popular Puteri Sarah Liyana antara artis yang memberi sokongan kepada COSRY.

Buat masa sekarang, COSRY beroperasi di sebuah kediaman di Bangsar dan untuk memudahkan pelanggan untuk melihat sendiri pakaian yang sudah siap atau membuat tempahan, mereka bolehlah pergi ke Pop-up store COSRY yang terletak di tingkat dua, Shoppes At Four Seasons Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Pada majlis hari ini juga, COSRY melancarkan laman sesawang yang baru iaitu www.cosry.com. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas