Berita

Simulasi banjir WP, tingkat siap siaga bantu mangsa terjejas

ROSIDA (tengah) mendengar penerangan mengenai keupayaan aset-aset daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan digunakan untuk kerja- kerja mencari dan menyelamat ketika musim banjir akan datang.
- Diterbit 22 Disember 2022 8:22 AM MYT

FENOMENA pemanasan global sejak kebelakangan ini banyak mempengaruhi kitaran iklim dunia dan mengakibatkan pelbagai kejadian bencana termasuk banjir dan tanah runtuh di seluruh negara khususnya di Wilayah Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar berkata pihaknya dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana terutamanya banjir ekoran situasi yang semakin meruncing terutamanya dari segi skala dan kekerapan belakunya bencana termasuk di Wilayah Persekutuan.

“Tujuan program simulasi yang dilaksanakan pula adalah untuk meningkatkan tahap kefahaman, kepakaran dan keupayaan setiap agensi kerajaan terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam aspek pengurusan bencana merangkumi elemen sebelum, semasa dan selepas bencana.

“Ini termasuklah ilmu pengetahuan dan latihan yang mencukupi supaya pasukan penyelamat dapat mengatur gerak kerja semasa berlaku bencana seperti banjir kilat, tanah runtuh, kebakaran dan apa jua bencana lain yang mengugat keamanan dan keselamatan warga Wilayah Persekutuan dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Program Simulasi Banjir, Majlis Keselamatan Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis (CP) Datuk Azmi Abu Kassim; Panglima Briged Ke-12, Infrantri Malaysia, Kem Wardieburn Kuala Lumpur, Brigedier Jeneral Sani S Omar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Kanan Bomba (PKPjB), Nordin Pauzi.

Jelasnya, kefahaman dan kerjasama strategik di antara agensi pengurusan bencana ini akan menjadikanpengendalianbencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) lebih sistematik dan terselaras.

“Inisiatif sebegini amat penting dalam memastikan tahap kesiapsiagaan pengurusan bencana di Wilayah Persekutuan berada pada tahap maksimum,” katanya.

Rosida berkata Program Simulasi Banjir itu melibatkan penyertaan seramai 350 orang peserta daripada 23 buah agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan dan melibatkan tiga lokasi iaitu Kampung Periuk, Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Wilayah dan Dewan Sultan Sulaiman di Kampung Baru.

“Melalui pelaksanaan simulasi ini, ianya dapat memberikan pendedahan kepada anggota penyelamat dan orang awam akan situasi sebenar dan peranan masing-masing apabila berhadapan dengan bencana di samping meminimumkan kesan bencana banjir di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Mahadi berkata program simulasi ini merupakan kesinambungan kepada penganjuran Bengkel Pengurusan Bencana dan Table Top Exercise yang telah berjaya dilaksanakan pada 20 September yang lepas.

“Ucapan setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada pihak urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kementerian Wilayah Persekutuan di atas usaha dan inisiatif bagi memastikan program simulasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya seperti yang dirancang, dengan kerjasama rapat PDRM. Saya juga mengalu-alukan kehadiran para peserta program Simulasi pada pagi ini. Saya yakin, penganjuran Simulasi Banjir Field Training Exercise ini akan mencapai tujuannya dengan komitmen daripada semua pihak, terutamanya komuniti setempat.

“Pada penghujung tahun 2021, kita telah dikejutkan dengan bencana banjir yang melanda hampir semua negeri di Malaysia. Kejadian banjir ini telah menyebabkan ribuan mangsa dipindahkan ke Pusat-Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara,” katanya ketika berucap merasmikan Program Simulasi Banjir, Majlis Keselamatan Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tambahnya, Wilayah Persekutuan juga turut terkesan dengan fenomena hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan beberapa kawasan menghadapi kejadian banjir kilat dan tanah runtuh.

“Walaupun kesannya tidak seteruk bandar-bandar yang lain, tetapi sudah tentu ia menjadi satu tanggungjawab bersama untuk memastikan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh ini agar ia dapat ditangani dengan cemerlang,” katanya.

Menurut Mahadi, sebagai pihak berkuasa yang telah diberikan amanah untuk menjaga dan memelihara keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyat yang terlibat, pihaknya perlu pantas bertindak dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menangani isu banjir kilat dan tanah runtuh di sekitar ibu negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas