MESKIPUN kurang persediaan dan pendedahan luar, Pasukan Silat Labuan berdiri sama tinggi dengan pasukan negeri lain apabila membawa pulang dua pingat emas dan dua pingat gangsa sekaligus menempatkan Labuan di kedudukan ke lapan keseluruhan pada Kejuaraan Silat Kebangsaan Ke 20, yang berakhir pada 23 Disember lalu di Johor.
Menurut jurulatih, Hamidah Mulok, pingat emas disumbangkan Siti Shazwana Ajak , Kategori Putri D 60-65kg dan Nur Nabilla Hartono, Kategori Putri H 80-85kg manakala dua gangsa hadir melalui Muhammad Akma Danish Mohd Amirul, Kategori Putra U45kg serta Nurul Syazwani Matrudin dan Maria Zarika Kahar, Kategori Ganda Putri.
“Pesilat-pesilat Labuan menunjukkn prestasi yang cukup memberangsangkan walaupun kurang persiapan dan pendedahan luar dengan pelaksanaan peraturan baharu dalam silat yang mana jauh lebih agresif dan mencabar.
“Pelbagai program baik dalam dan luar Labuan akan cuba disertai bagi memastikan lebih banyak pendedahan diberikan kepada pesilat Labuan khususnya atlet-atlet yang berpotensi,”katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambahnya, pencapaian membanggakan itu membolehkan Siti Shazwana Ajak dan Nur Nabilla Hartono dipanggil ke dalam Kem Latihan Pusat Pasukan Silat Negara sekitar pertengahan Januari 2023 sebagai persiapan Skuad Elit Silat Negara menghadapi beberapa kejohanan besar antaranya Sukan SEA Kemboja 2023, Kejuaraan Silat dunia ke-20 Indonesia 2023 dan Asian Indoor Games Thailand 2023.
Terdahulu, Labuan yang mempertaruhkan sembilan pesilat diketuai oleh Pengurus Pasukan Mahadi Harith, Jurulatih Tanding / Silat Olahraga, Abdullah Amir Abdul Rahman dan Jurulatih Silat Seni, Omar Tamam. – WILAYAHKU