Berita

CBP agih wakalah zakat beri manfaat kepada 400 penerima, 16 masjid

TIMBALAN Pengerusi Ahli Lembaga Koperasi CBP, Nor Hidayah Omar (tiga kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil Masjid Nurul Iman (dua kanan), Nibong Tebal, Pulau Pinang semasa Program Agihan Zakat Sinar Inspirasi yang diadakan baru-baru ini.
- Diterbit 1 November 2022 10:04 AM MYT

CO-OPBANK Pertama (CBP) mengagihkan dana wakalah zakat yang memanfaatkan 400 penerima individu dan 16 buah masjid di seluruh negara yang berjumlah RM367,168 ribu.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata program agihan ini mensasarkan golongan anak yatim dan ibu tunggal dalam kalangan fakir dan miskin, selain institusi masjid dan pelajar IPT bawah kategori asnaf Fisabilillah.

“Ini merupakan tanggungjawab CBP untuk membantu golongan memerlukan dan secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka dengan bantuan zakat yang diberikan.

“Menerusi program ini juga, ia merupakan langkah untuk CBP merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat yang telah banyak membantu dan menyokong kita selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Jelasnya agihan wakalah zakat ini dilakukan di beberapa negeri iaitu di Perlis, Kedah, Selangor, Kelantan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak dan Pulau Pinang.

“Ia juga membuktikan kesungguhan pihak kami dalam memartabatkan masjid sebagai pusat dakwah dan kemasyarakatan, selain menzahirkan keprihatinan CBP terhadap golongan ibu tunggal, anak yatim serta pelajar IPT.

“Agihan zakat ini merupakan salah satu program di mana disampaikan sendiri oleh Anggota Lembaga CBP menerusi majlis serahan zakat yang diadakan di masjid-masjid terpilih di seluruh negara,” ujarnya.

Selain daripada agihan wakalah zakat, beliau berkata, CBP juga terus komited membantu masyarakat menerusi pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilakukan.

“Pihaknya juga turut mensasarkan agihan ini dapat ditingkatkan lagi di tahun-tahun mendatang dan dapat membantu lebih ramai golongan sasar di negeri-negeri lain,” katanya.

CBP ditubuhkan pada 7 Jun 1950 dan telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah co-opbank (September 2014). CBP mempunyai 29 buah cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak di mana pelbagai produk perbankan patuh Syariah termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu ditawarkan. Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.cbp.com.my. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas