DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara lesen operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) selepas tular sebuah video berkenaan seorang wanita yang mengaku beragama Islam menanggalkan pakaian semasa pertunjukan mikrofon terbuka.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata langkah tersebut merupakan mesej jelas bahawa kementeriannya dan DBKL tidak akan bertolak ansur dengan sebarang aktiviti yang menghina sensitiviti agama dan kaum serta kedaulatan negara.
“Isu itu turut mendapat kritikan daripada penduduk dan netizen yang merasakan video tular (persembahan wanita itu) bertujuan untuk menghina imej Islam.
“DBKL telah menjalankan siasatan ke atas premis itu dan penggantungan sementara itu berkuat kuasa hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jalaluddin berkata operasi penguatkuasaan dijalankan dari semasa ke semasa dan menyeru orang ramai untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kejadian seumpama itu.
Baru-baru ini tular video berdurasi 45 saat yang memaparkan seorang wanita yang dikenali sebagai Siti Amira Natasya memulakan persembahan dengan mendakwa menghafaz Al-Quran 15 juzuk bertindak menanggalkan tudung dan pakaian dalam sebuah pertunjukan di Kelab Komedi Crackhouse.
Walau bagaimanapun, kelab itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail terhadap wanita itu serta pasangannya juga dihalang mengunjungi kelab itu sejurus selepas persembahan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataan berkata Bahagian Penguatkuasaannya telah menjalankan siasatan berkenaan penularan video berkenaan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 yang boleh membawa kepada denda tidak melebihi RM3,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga difahamkan telah melakukan siasatan melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atau niat jahat memudaratkan keadaan harmoni.
Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. –WILAYAHKU