PRIHATIN terhadap nasib mangsa banjir di Baling, telah mendorong Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 6, Bandar Tun Razak turun padang menghulur bantuan tidak sampai 36 jam selepas kejadian berlaku.
Pengerusinya, Norazman Sallehuddin yang mengetuai misi bantuan berkata kebajikan penduduk kampung yang terjejas kejadian kepala air Isnin lalu, meraih simpati mereka yang segera membantu meskipun terpaksa mengharung lebih 400 kilometer perjalanan sebelum tiba ke lokasi banjir.

Katanya, dengan lima tenaga sukarelawan sambil menggunakan van Wilayah Prihatin, usaha mereka meringankan beban mangsa banjir yang menenggelamkan 12 kampung di Baling itu, berhasil apabila bantuan 3,000 set pakaian dalam wanita selain 3,000 baju t-shirt berjaya diagihkan pada pagi Rabu.
“Dalam situasi bencana sebegini, kita perlu segerakan sebarang bentuk bantuan untuk mangsa dalam situasi serba memerlukan, jadi tidak perlu sampai hendak mesyuarat dahulu baharu mahu laksanakan bantuan.
“Berdasarkan pengalaman membantu misi banjir sebelumnya, keadaan warga di lokasi bencana sangat kekurangan dan terbatas, bukan sekadar keperluan makanan malah pakaian serta kelengkapan lain turut tidak cukup dan terjejas,” katanya mengulas misi bantuan banjir dilaksanakan di Baling.
Usaha bantuan melalui sumbangan 3,000 set pakaian dalam selain 3,000 baju t-shirt dijayakan MPPWP Sub Zon 6, Bandar Tun Razak dengan usaha sama Amerlink Textile Sdn Bhd memperuntuk sejumlah RM18,000 memanfaatkan 600 wanita dan 1,000 lelaki dalam kalangan penduduk di 12 kampung sekitar daerah Baling ditenggelami banjir kilat akibat hujan lebat lebih tiga jam, pada petang Isnin lalu.

Antara kampung terjejas Kampung Iboi; Kg Lata Celak, Kg Padang Empang, Kg Bukit Iboi, Kg Masjid Iboi, Kg Bendang Padang, Kg Bendang Bechah dan lain-lain.
Berdasarkan statistik setakat semalam, bilangan mangsa dipindahkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daerah ini, mencatatkan sejumlah 591 orang daripada 124 keluarga. Jumlah itu dijangka semakin berkurangan apabila paras air mulai turun di kebanyakan kampung yang terjejas. -WILAYAHKU